Home Kemanusiaan/Motivasi REDHA DAN SABARLAH DENGAN UJIAN ALLAH. ALLAH AKAN MEMBERIKAN NIKMAT KETENANGAN KERANA...

REDHA DAN SABARLAH DENGAN UJIAN ALLAH. ALLAH AKAN MEMBERIKAN NIKMAT KETENANGAN KERANA ALLAH BERSAMA ORANG-ORANG YANG SABAR

3758
0

Sudah dijelaskan dalam agama Islam bahawa setiap daripada Mukmin yang mengamalkan sikap sentiasa bersabar akan memperoleh nikmat dan ganjaran yang manis daripada Allah SWT.

Dalam situasi ini, apa isu atau kejadian yang boleh kita kaitkan? Ya, sudah semestinya isu yang berkaitan dengan pandemik Covid-19. Bayangkan, virus yang menyerang umat manusia itu telah menyebabkan kita “terkurung” hampir dua tahun. Segala pergerakan terbatas hingga menyebab sebilangan besar daripada kita hampir meroyan. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (QS al-Baqarah:153).

Sebelum ini, para hamba Allah SWT yang soleh diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai musibah. Ada yang diuji dengan harta benda dan akalnya. Akan tetapi, ujian kali ini lebih dasyat kerana ia melibatkan kesihatan yang boleh meragut nyawa. Jadi ujian kesabaran di sini agak tinggi untuk dihadapi dan ia membuatkan sebilangan kita hampir hilang pedoman.

Orang yang bersifat sabar merupakan orang yang sangat tenang di dunia. Apa pun ujian yang diberikan oleh Allah SWT, dia tetap dalam keadaan tenang kerana tahu bahawa apa yang akan berlaku akan tetap terjadi. Cuma yang membezakannya adalah bila masanya dan bagaimana cara dia hendak berhadapan dengan ujian yang dihadapi itu.

Ganjaran kepada orang beriman yang memiliki sifat mahmudah tersebut cukup menakjubkan. Beruntunglah golongan itu apabila dijanjikan kejayaan, kebahagiaan, syurga nan indah dan terhindar daripada seksa api neraka. Itulah kemanisan iman yang tidak diperolehi oleh semua manusia kecuali yang mengamalkan sikap sabar.

Sumber: Sinar Harian (7 Februari 2020)