Home Kemanusiaan/Motivasi BERSEDEKAHLAH TERUTAMA DI WAKTU SUBUH KERANA BANYAKNYA KELEBIHAN DAN MENDAPAT KEBERKATAN YANG...

BERSEDEKAHLAH TERUTAMA DI WAKTU SUBUH KERANA BANYAKNYA KELEBIHAN DAN MENDAPAT KEBERKATAN YANG BESAR DI DUNIA SERTA AKHIRAT

808
0

Sedekah merupakan salah satu amalan yang dapat menghantarkan umat Islam menuju syurga Allah SWT. Selain untuk mendekatkan diri kepada Allah, secara sosial sedekah juga bermanfaat untuk mengatasi masalah ekonomi masyarakat dengan cara membantu golongan miskin dan kurang mampu. Sedekah adalah salah satu cara untuk menghapuskan dosa-dosa seperti sabda Rasulullah SAW:

“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR al-Tirmizi).

Malah betapa besarnya pahala sedekah sehingga orang-orang yang telah meninggal dunia yang berada di alam akhirat merasa menyesal kerana tidak bersedekah semasa mereka berada di dunia dahulu. Mereka merayu-rayu kepada Allah SWT supaya dikembalikan semula ke dunia untuk mereka bersedekah dan membuat amal soleh. Allah SWT berfirman:

“… Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh “(QS al-Munafiqun: 10).

Di dalam agama Islam, telah diajarkan kepada umatnya untuk lebih kerap bersedekah agar segala rezeki yang diperolehi menjadi lebih berkat. Sebenarnya sedekah dapat dilakukan bila-bila masa sahaja. Namun kebanyakan ulama berpendapat bahwa waktu terbaik untuk mengeluarkan sedekah adalah diwaktu subuh atau sebelum matahari terbit.

Mengapa sedekah pada waktu pagi (subuh) adalah sedekah yang terbaik? Daripada Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada yang berpagi-pagian para hamba padanya kecuali ada dua malaikat yang turun. Salah satu di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang menginfaqkan hartanya. ” Sedangkan yang satu lagi berdoa “Ya Allah, berilah kemusnahan bagi orang yang menahan (hartanya).” (HR Bukhari).

Tahukah anda apa kelebihannya jika kita mengamalkan sedekah subuh? Antara kelebihannya adalah:

  • Didoakan para Malaikat.
  • Membuka pintu rezeki dan kebaikan bagi sepanjang hari yang akan dilalui.
  • Mengeratkan hubungan sesama manusia dengan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
  • Memperoleh pahala berlipat kali ganda dan dirahmati serta diberkati oleh Allah SWT.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang mahu hidupnya sentiasa diberkati Allah SWT, marilah kita sama-sama mengamalkan sifat ini secara perlahan-lahan. Biasakan diri kita untuk bersedekah di waktu subuh walaupun cuma RM1. Lakukanlah secara istiqomah, kerana disitu adanya doa malaikat dan doa para malaikat itu sangat mustajab di sisi Allah.

Sumber: Laman Web Kashoorga (https://www.google.com/amp/s/www.kashoorga.com/biasakan-diri-buat-amalan-sedekah-subuh-jadikan-rutin-walau-hanya-rm1-salah-satu-cara-menjemput-rezeki/amp/)