Home MURTAD HIKMAH HUDUD DIKENAKAN TERHADAP GOLONGAN MURTAD

HIKMAH HUDUD DIKENAKAN TERHADAP GOLONGAN MURTAD

64
0

Isu murtad dilihat sangat sensitif dan terpencil tetapi ia membawa impak besar dalam masyarakat beragama Islam. Statistik menunjukkan bahawa hampir 250,000 umat Islam murtad di Malaysia dan termasuklah di dalamnya 100,000 umat Islam yang telah mengisytiharkan diri mereka menganut agama Kristian. Hal ini menunjukkan bahawa banyak kes murtad berlaku dalam diam tetapi orang ramai sangat takut dalam membincangkan isu ini.

Oleh sebab itu, murtad adalah jenayah Islam yang dihukumkan hudud ke atas orang Islam yang keluar daripada agamanya. Apabila membicarakan soal hudud, maka pasti ramai pihak menimbulkan persoalan hak asasi. Mereka tidak nampak akan hikmah hudud itu sendiri, sebaliknya hanya menuduh Islam itu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Analoginya, kesemua negara yang mengamalkan hukum jenayah konvensional menjatuhkan hukuman mati kepada jenayah yang paling merosakkan sistem negara dan rakyatnya. Contohnya, jenayah yang melibatkan dadah. Sesiapa sahaja yang didapati mengedar dadah di atas jumlah tertentu akan dijatuhkan hukuman mati. Di sini tidak timbul persoalan “Hak asasi individu untuk mengedar dadah” atau “Dadah itu kegunaan peribadi dan bukan kegunaan orang lain”. Hukuman tetap dikenakan kepada sesiapa sahaja yang mengedar dadah, sekalipun yang mengedarnya adalah warga negara asing. Kenapa sedemikian? Jawapannya, kerana dadah adalah perosak kepada sistem negara dan rakyatnya.

Hal ini tidak berbeza dengan hukuman jenayah Islam. Antara tujuan utama hukuman hudud disyariatkan adalah untuk menghindari sebarang fitnah kepada agama Islam dan umat Islam. Hukuman hudud bersifat tegas kerana hanya dengan ketegasan tersebut manusia akan mematuhinya dan menjauhi jenayah yang dihukuminya.

Sepertimana hukuman hudud yang dikenakan kepada orang Islam murtad, apabila ianya dizahirkan boleh menimbulkan fitnah kepada Islam dan umatnya. Ia merosakkan sistem Islam yang secara keseluruhannya berperanan mengurusi hal ehwal kehidupan manusia dalam sesebuah negara tanpa mengira rakyat tersebut beragama Islam atau tidak. Perlu diketahui bahawa Islam bukan sekadar agama, solat dan zikir, tetapi ia adalah agama yang mengurusi kepimpinan, politik, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan sebagainya. Renung-renungkan.

Sumber: Al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami Muqarinan bi al-Qanun al-Wad’i (edisi terjemahan oleh Zakir Aijaz atas judul Criminal Law of Islam), Jilid 3.