Home Kemanusiaan/Motivasi JADILAH MANUSIA YANG PALING BAIK DAN BERMANFAAT, JANGAN MENJADI MANUSIA YANG BURUK...

JADILAH MANUSIA YANG PALING BAIK DAN BERMANFAAT, JANGAN MENJADI MANUSIA YANG BURUK DAN MENYUSAHKAN

1011
0

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan aman dari kejahatannya, dan orang yang paling buruk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman dari kejahatannya.” (HR Tirmizi).

Sudah menjadi adat di dunia terdapat manusia yang baik dan manusia yang buruk akhlaknya. Tidak semestinya apabila kita hidup di dalam kelompok masyarakat atau kejiranan, semuanya berakhlak baik, ada sebilangannya yang berakhlak buruk. Ibrat kata pepatah “dalam setandan pisang tidak semuanya elok”.

Hakikatnya manusia dijadikan Allah SWT dengan dua potensi iaitu manusia yang mempunyai nilai positif dan negatif. Manusia yang positif adalah mereka yang mempunyai nilai murni yang tinggi dalam dirinya seperti taat kepada perintah Tuhan, berbuat baik kepada manusia lain dan baik terhadap diri sendiri, manakala manusia yang negatif adalah manusia yang merosakkan diri dengan perkara yang bercanggah dengan nilai baik.

Seorang Mukmin yang ingin menjadi baik iaitu menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lain dan menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT hendaklah tahu akan perkara yang boleh membina kebaikan dalam diri seseorang manusia. Ramai manusia yang ingin menjadi baik, tetapi tidak dapat membina kebaikan diri kerana tidak tahu akan formula untuk menjadi insan yang benar-benar baik pada pandangan Allah SWT dan baik dalam kalangan manusia. Tidak mengapa, menjadi manusia yang baik dengan amalan yang biasa juga sudah mencukupi. Ini kerana Allah SWT akan menilai kita dari sekecil-kecil kebaikan yang dilakukan. Sabda Rasulullah SAW:

“Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR Ibn Hibban).

Oleh itu, jauhilah diri dari menjadi orang yang buruk akhlak dan orang lain tidak merasa aman dengan kehadiran kita di dalam masyarakat. Berusahalah memperbaiki diri bagi menjadi manusia yang baik dan bermanfaat dari menjadi manusia yang buruk dan menyusahkan.

Sumber: Koleksi Hadis Jimaain Safar, people@UTM (https://people.utm.my/ajmain/2019/12/20/jadilah-manusia-terbaik/)