Kesesatan pemikiran golongan Islam liberal yang dipelopori oleh Kasim Ahmad terserlah apabila beliau membuat kritikan terhadap hadis Nabi Muhammad SAW di dalam bukunya “Hadis: Satu Penilaian Semula”. Menerusi penulisannya, beliau telah menolak hadis daripada menjadi sumber akidah dan perundangan Islam dan menyatakan punca perpecahan umat Islam ialah kerana berpegang dengan hadis Nabi Muhammad SAW.
Pemikiran Golongan Anti Hadis (GAH) ini ternyata menyamai apa yang berlaku pada generasi awal golongan liberalisme Kristian. Mereka yang pada awalnya menolak penindasan namun akhirnya memanipulasi keadaan dan terpesong pegangan dan sesat. GAH menggunakan istilah Quranisme/Quraniyyun sebagai sebahagian daripada hujjah GAH dengan mencadangkan lebih baik mereka digelar sebagai ‘quranis’ dan bukannya ‘anti-hadis’. Sebagai ‘quranis’ mereka membuat tafsiran sendiri dan tidak menerima ahli yang lebih berautoriti dalam penafsiran al-Quran.
Menurut pandangan GAH, jika seseorang itu memahami Bahasa Arab, maka ia tidak lagi perlukan penjelasan lain kerana al-Quran diturunkan dengan Bahasa yang jelas. Berdasarkan alasan ini, maka Rasulullah SAW tidak diperlukan bagi menjelaskan al-Quran yang sememangnya sudah jelas. Bagi mengukuhkan alasan mereka, GAH menyatakan berpegang kepada hadis berbeza akan membawa kepada perpecahan umat Islam.
Sedangkan pada dasarnya GAH tidak mendalami Bahasa Arab bagi memahami maksud hadis bahkan untuk memahami tafsir al-Quran itu sendiri. Bagi memahami al-Quran maka mendalami Bahasa Arab adalah wajib. Bukan setakat fasih dalam pertuturan, namun ada ilmu-ilmu lain yang perlu diketahui dan dikuasai oleh individu demikian sebelum memahami dan menafsirkan al-Quran. Contohnya, ilmu nahu-sorof, ilmu gaya Bahasa (balaghah), ilmu isti’arah (peribahasa) dan lain-lain. Apabila tidak dapat menguasai Bahasa Arab sebaiknya seperti golongan liberal anti-hadis ini, maka kecenderungan menganggap hadis bercanggah dengan al-Quran adalah tinggi. Malah penafsiran al-Quran yang mereka lakukan adalah berdasarkan logik akal dan hawa nafsu yang menyesatkan.
Sumber: Kertas Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (2016)