Sifat malu kepada Allah SWT adalah suatu tuntutan iman kerana sifat malu bukan sahaja membabitkan hubungan sesama manusia, malah rasa malu juga mesti ada antara diri dengan Allah SWT. Sebagai hamba Allah SWT yang beriman, kita perlu berasa malu sekiranya tidak dapat memenuhi ketetapan Allah SWT. Maka bagi hamba Allah SWT yang berhasrat melakukan kemungkaran, mereka sepatutnya berasa malu kepada-Nya. Perasaan malu kepada Allah SWT inilah yang akan menjadi salah satu bentuk benteng yang sangat efektif untuk menghindarkan diri kita dari segala bentuk perilaku buruk. Kita tidak akan berkata kotor, kasar, dan celupar kerana kita merasa malu. Kita tidak akan melakukan perbuatan mungkar kerana kita merasa malu. Kita juga menutupi aurat kerana merasa malu.
Namun di akhir zaman ini, semakin ramai umat manusia khususnya umat Islam yang tanpa segan silu menayangkan perbuatan maksiat mereka kepada pihak awam. Apatah lagi dengan kemunculan pelbagai media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan lain-lain membuatkan umat manusia semakin ghairah dan berbangga untuk menunjukkan perbuatan maksiat mereka buat tatapan umum. Adakah kita tidak mempunyai rasa malu kepada Allah SWT?
Ada sebuah nasihat dari Tafsir As Sa’di rahimahullah yang bermaksud:
“Hendaknya orang-orang yang bermaksiat merasa malu kepada Rabb-nya.
Di mana nikmat-nikmat Allah SWT selalu turun kepadanya di setiap saat, sedangkan kemaksiatan-kemaksiatannya selalu naik kepada-Nya di setiap waktu.” (Tafsir surat An Nahl: 45-47).
Cuba lihat kembali ke dalam diri kita, kita ini mengaku sebagai Muslim dan beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, tetapi adakah kita sudah cukup malu dengan Allah SWT apabila kita memuatnaik ‘content’ maksiat sama ada diri sendiri atau orang lain? Mukmin yang benar-benar memiliki sifat malu kepada Allah SWT ialah yang:
- Menjaga dan memelihara kepala serta seluruh pancaindera di kepala seperti mata, telinga, mulut daripada melakukan perbuatan dosa dan maksiat.
- Menjaga dan memelihara perut daripada makan dan minum sesuatu yang haram dan berdosa.
- Sentiasa mengingati mati dan bau busuknya jasad apabila mati nanti.
- Meninggalkan perhiasan dunia (tidak bertungkus lumus mencari dunia sehingga melalaikan kehidupan akhirat).
Rasulullah SAW bersabda:
Malulah kepada Allah dengan sebenar-benarnya malu.” (HR At Tirmidzi).
Ayuhlah kita bersama-sama memiliki sifat malu kepada Allah SWT yang sebenar-benarnya atas segala dosa yang telah dilakukan dan segera bertaubat agar memperoleh ganjaran di akhirat.
Sumber: Koleksi Hadis Jimaain Safar, people@utm (https://people.utm.my/ajmain/2017/12/12/sifat-malu-kepada-allah-yang-sebenar/)