Sungguh mendukacitakan! Tetapi tidak hairan kerana dunia sudah semakin di penghujungnya. Maka telah banyak tanda – tanda akhir zaman yang berlaku. Ini semua disebabkan oleh penganjuran sebuah konsert di Riyadh, Arab Saudi yang dicemari insiden tarian dan nyanyian yang rancak tetapi di belakangnya terdapat sebuah monumen berbentuk kaabah.
Sambutan ini dinamakan sebagai “Riyadh Season Festival” di mana ia telah pun dimulakan sejak tahun 2019 yang merupakan pesta tahunan dari segi hiburan, kebudayaan dan sukan sebagai usaha Arab Saudi dalam mempromosikan aktiviti perlancongan di negara tersebut. Sebelum ini, Arab Saudi juga penuh dengan kontroversi di mana negara itu membenarkan sambutan Halloween yang jelas bertentangan dengan agama Islam.
Rakaman beredar dalam talian mengenai struktur seperti Kaabah dengan penari di sekelilingnya menimbulkan kekecohan dalam kalangan pengguna media sosial Arab, sekali gus menimbulkan kemarahan atas dakwaan mengejek tapak paling suci umat Islam itu. Ramai yang membandingkan adegan itu dengan ritual umat Islam di kaabah. Walaupun pihak berkuasa anti-khabar angin Arab Saudi mengesahkan tidak ada model atau replika Kaabah semasa festival itu berlangsung, namun ia jelas di hadapan mata semua orang bahawa bentuknya seakan menyerupai kaabah, tempat suci bagi umat Islam. Apa yang cuba pihak Arab Saudi cuba nafikan?
Ia jelas satu penghinaan ke atas tempat ibadah umat Islam. Tempat di mana Rasulullah SAW dilahirkan dan menyampaikan khutbah pertama Baginda selepas hari kedua pembukaan Kota Makkah. Kiblat utama kita. Seharusnya sebagai umat Islam, kita merasa sedih dan hiba tentang perlakuan ini apatah lagi penduduk Arab Saudi yang memiliki tempat yang suci itu. Namun kini tidak, mereka hanyut dengan kehidupan duniawi berbanding dengan kehidupan yang kekal abadi di akhirat sana.
Kita sebagai Muslim perlu berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah sepertimana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Inilah yang disebut oleh Rasulullah SAW bahawa umatnya tidak akan sesat jika berpegang teguh pada keduanya. Inilah juga yang telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW agar “menggigit sunnahnya dengan geraham” yang bermaksud berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.
Marilah semua umat Islam, walaupun kaabah itu tidak berada di tempat kita, namun sudah menjadi kewajipan kita untuk memelihara kesuciannya. Kerana itulah kiblat utama kita dan seluruh umat Islam di serata dunia.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)