Tamak adalah sifat haloba iaitu ingin memiliki sesuatu tanpa batasan dan berasa tidak cukup sehingga menyebabkan seseorang itu membuat kerja-kerja yang hina seperti membolot harta, merampas, menipu, mengambil hak orang lain dan seumpamanya.
Tamak adalah lawan dari sifat qanaah (menerima dan puas dengan apa yang dikurniakan Allah). Orang yang tamak memang tidak pernah kenal puas terhadap harta, pangkat dan jawatan serta keduniaan lainnya.
Sifat tamak akan menjatuhkan nilai seorang manusia kepada kehinaan. Malah sifat tamak akan merosakkan iman dan agamanya. Ketamakan manusia kepada harta, jawatan, serta keduniaan lainnya akan membawa kepada kezaliman, kebohongan dan perbuatan keji. Bahayanya sifat tamak ini adalah seperti sabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah dua ekor serigala yang lapar dikirimkan pada seekor kambing itu lebih berbahaya daripada tamaknya seseorang pada harta dan kedudukan dalam membahayakan agamanya.” (HR. al-Tirmidzi).
Mereka yang bersifat tamak tidak memperdulikan halal dan haram serta hanya mengikut kehendak hawa nafsu. Akibat daripada sifat ini, ia boleh menimbulkan perasaan benci, perkelahian, perpecahan, perselisihan faham, dendam, permusuhan dan sebagainya.
Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap manusia pasti akan menjadi tua. Namun jiwanya tetap muda mengenai dua perkara, iaitu tamak akan harta benda dan selalu ingin panjang umur.” (HR Muslim).
Hidup manusia pada zaman ini lebih cenderung kepada kehidupan yang mementingkan harta benda, wang ringgit dan pangkat dan darjat. Kehidupan seumpama ini boleh sahaja mempengaruhi seseorang itu untuk bersifat tamak dan mementingkan diri sendiri. Sebagai umat Islam, adalah penting bagi kita untuk berwaspada dan berhati-hati. Jangan sampai harta kekayaan dan kemewahan itu membutakan mata, merosakkan hati dan meracuni akal fikiran kita semata-mata untuk mendapatkan dan memperolehi hasil rezeki dari jalan yang tidak halal atau syubhah.
Ketahuilah, bersifat tamak dan rakus dalam mengumpul harta kekayaan dan kemewahan itu tidak pernah menjanjikan kebahagiaan di dalam kehidupan kerana mereka yang hidup dengan cara yang sederhana dan dalam keadaan yang serba kekurangan. Masih dapat hidup dengan tenang, bahagia, selalu berasa cukup kerana mereka sentiasa bersyukur. Bukan itu sahaja, apabila seseorang itu sudah menjadi tamak akan timbulnya kekerasan pada hati iaitu apabila seseorang itu melakukan dosa, dia tidak pernah rasa bersalah malah ia juga suka bercakap dusta atau berbohong dan tidak boleh menerima sebarang teguran atau nasihat daripada orang lain. Sesungguhnya sifat tamak telah terbukti boleh menyebabkan manusia ditimpa kehancuran dan mendapat kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah SWT:
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan peraknya yang tidak dikeluarkan zakatnya dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah maka gembiralah mereka dengan azab yang pedih.” (QS At-Taubah: 34).
Oleh itu, Sama-samalah kita berdoa semoga diri kita, keluarga kita dan umat Islam seluruhnya dijauhi daripada sifat tamak, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa berasa cukup dengan rezeki yang dimiliki dan menjadi golongan yang sentiasa bersyukur atas nikmat kurniaan Allah SWT. Tidak rugi untuk membelanjakan harta ke jalan Islam, sebaliknya orang yang tamak itu akan sentiasa berada dalam kerugian.
Sumber: Pelita Brunei, Jabatan Penerangan Negara Brunei