Menyambung tali persaudaraan sesama umat Islam itu adalah satu kewajipan kepada semua Muslim di dunia ini. Tanpa mengira bangsa, warna kulit dan pemahaman, ia sememangnya menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mengukuhkan lagi silaturahim agar lebih utuh dan kukuh. Menyedari kepentingan serta besarnya manfaat silaturahim, maka dalam Islam seorang Muslim tidak dapat dikira sempurna imannya apabila dia tidak menghubungkan tali kasih sayang. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan).” (HR Muslim).
Selain menandakan kesempurnaan iman, umat Islam yang menjaga silaturahim juga akan dikurniakan umur yang panjang (keberkatan umur) dan diperluaskan serta diberkati dalam rezeki mereka oleh Allah SWT. Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang ingin diperluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim.” (HR al-Bukhari).
Walaupun mengetahui menyambung tali silaturahim antara sesama Muslim adalah suatu kewajipan dan menjadi syarat kesempurnaan iman, namun pada hakikatnya masih ada ramai umat Islam enggan berbuat demikian. Mereka lebih suka ke arah hidup secara berpuak-puak seperti yang dilakukan masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka tidak mahu menyambung tali persaudaraan, bahkan ada yang sengaja memutuskan tali persaudaraan kerana berlaku hal seperti perbezaan pendapat dalam permasalahan fiqih dan mazhab, ‘menganut’ fahaman politik kepartian, perebutan harta atau pun lain-lain perkara berkaitan hal keduniaan. Tahukah kita apa manfaatnya jika kita menjaga silaturahim sesama saudara seagama? Antara manfaat yang kita perolehi adalah:
1) Menjaga kerukunan dan tali persaudaraan.
2) Meluaskan pintu-pintu rezeki.
3) Merasa lebih dekat dengan Allah SWT.
4) Terhindar daripada azab api neraka.
5) Memperoleh pahala seperti memerdekakan seorang hamba.
Ingatlah, amat penting bagi seorang umat Islam untuk menjaga silaturahim sesama saudara agama agar beroleh rahmat dari Allah SWT. Ini seperti yang diperintahkan Allah SWT dalam FirmanNya yang bermaksud:
“…Bertakwalah kepada Allah yang dengan menggunakan nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahmi. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (QS An – Nisa: 1).
Marilah kita sama-sama mengubah diri kita agar menjadi kepada yang lebih baik dalam menjaga hubungan silaturahim sesama umat Islam. Ini kerana kukuhnya suatu ukhuwah itu adalah bagaimana masyarakatnya menjaga silaturahim sesama manusia.
Sumber: Harian Metro (13 Jun 2019)