Home Kemanusiaan/Motivasi HADAPILAH MUSIBAH DENGAN SABAR DAN REDHA NESCAYA AKAN DIHAPUSKAN SEBAHAGIAN DOSA-DOSA OLEH...

HADAPILAH MUSIBAH DENGAN SABAR DAN REDHA NESCAYA AKAN DIHAPUSKAN SEBAHAGIAN DOSA-DOSA OLEH ALLAH SWT

991
0

Sabar ertinya tahan menempuh sesuatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Manusia yang hidup di dunia ini tidak akan dapat lari daripada menerima qada’ dan qadar Allah SWT seperti musibah-musibah yang menyebabkan penderitaan dan kesusahan sebagai cabaran dan ujian dari Allah SWT dan harus dihadapi dengan penuh kesabaran. Firman Allah SWT:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”. (QS al – Baqarah: 155).

Umum mengetahui sebilangan negeri di Malaysia diuji dengan musibah banjir dan tanah runtuh akibat hujan sejak dua hari lepas. Keadaan ini menyebabkan sebilangan besar manusia mengalami kerugian dari segi harta benda bahkan ada yang harus kehilangan nyawa. Dalam keadaan ini, apa yang boleh kita lakukan? Sabar. Ya, bukan mudah untuk bersabar dengan dugaan yang Allah SWT turunkan. Tetapi sebagai umat Islam, adakah kita digalakkan untuk terus meratap akan musibah yang menimpa?

Dalam hal ini, kita seharusnya berbalik kepada Allah SWT. Bersangka baiklah dengan Allah SWT di atas ujian dan musibah yang menimpa. Mungkin selama ini kita lalai dalam beribadah kepadaNya dan Allah SWT menghantarkan ‘teguran’ untuk kita bermuhasabah di atas semua perilaku dan sikap kita selama ini. Dalam hal ini, umat Islam perlu menghadapi musibah ini dengan sabar dan redha serta menuruti nasihat serta panduan dikeluarkan pihak berkuasa.

Bersabarlah, berdoa dan mohonlah kepada Allah SWT supaya diberikan kekuatan dan kecekalan hati untuk mengharungi dugaan ini. Sesungguhnya musibah yang menimpa ke atas kita bukanlah bertujuan untuk menyusahkan kita tetapi disebaliknya mempunyai hikmah yang tersirat. Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak satu musibah pun yang menimpa diri seorang Muslim, sama ada yang berupa kesusahan dan penderitaan, kesedihan dan kedukaan ataupun penyakit, bahkan kerana sepotong duri yang mencucuk kakinya (anggotanya), melainkan dihapuskan oleh Allah dengan itu sebahagian dari kesalahannya”.(HR Bukhari).

Oleh itu, kita hendaklah bersabar dan tabah serta redha menghadapi ujian yang menimpa ke atas kita kerana semua itu adalah kuasa dan qada’ serta qadar Allah SWT sebagai peringatan kepada hamba-hambaNya supaya tidak terus lalai dan leka dalam kesenangan dan kemewahan hidup di dunia. Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa bersama kita sebagaimana yang dijanjikan olehNya untuk sentiasa bersama orang-orang yang sabar dan sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayah serta memberikan perlindungan kepada kita semoga selamat di dunia dan di akhirat.

Sumber: Berita Harian (15 Januari 2021)