Gerakan Krisitianisasi yang wujud pada tida dekad terakhir adalah gabungan antara gerakan Karisma (1960), gerakan kepercayaan (1970) dan gerakan ramalan (1980). Walaupun pada umumnya orang Melayu masih dapat bertahan daripada menjadi sasaran langsung pengkristianan disebabkan peruntukan perlembagaan Negara, namun ketika itu sudah ada sebilangan kecil yang dapat dikristiankan.
Usaha semenjak 500 tahun lalu ini boleh dianggap sebagai ‘perang’ secara berterusan dan kesinambungan kepada gerakan salibiyyah oleh negara Barat ke atas umat Islam akibat dari kekalahan yang dialami mereka sepanjang perang salib.
Namun, lihatlah pada ketika ini khususnya anak muda Melayu Islam yang lagaknya seperti memiliki seluruh isi dunia dengan sengaja bertingkahlaku bebas tanpa menjadikan agama sebagai alat untuk membataskan diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah dalam Islam. Bukan itu sahaja, anak-anak muda ketika ini sangat mengagungkan Barat sehingga obses dan terikut-ikut dengan budaya songsang Barat samada dari sudut fesyen dan cara berpakaian, amalan gaya hidup yang mementingkan kebebasan, hiburan dan pergaulan bebas, adab susila serta lain-lain lagi.
Antara taktik lain gerakan kristianisasi untuk menarik golongan muda yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh dan menginginkan kebebasan termasuklah memberi bantuan kewangan kepada mereka yang datang ke gereja walau hanya untuk melihat keadaan, menyediakan elaun khas bulanan kepada mereka yang konsisten ke gereja, menonjolkan kemajuan di peringkat antarabangsa khususnya di negara Barat yang hampir keseluruhannya menganut agama Kristian sebagai model kemajuan. Selain itu, melalui media sosial sebagai dunia terbuka sekarang ini, terdapat gerakan yang cuba mengelirukan umat Islam dengan mengatakan Islam tidak betul dan tidak sesuai dengan zaman sekarang sehingga Islam dilihat sebagai agama yang mundur, ketinggalan zaman serta umat Islam penuh dengan masalah kerana berpegang teguh dengan ajaran Islam yang jumud.
Gerakan kristianisasi ini juga cuba menyerang dan memburuk-burukkan Islam dengan membawa isu-isu yang boleh mengelirukan pemikiran terutamanya bagi anak muda yang memang sudah jauh dari ajaran agama dan terpengaruh dengan fahaman liberalisme, sekularisme dan sebagainya. Sebagai contoh, mereka menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW juga berdosa, tidak maksum kerana baginda juga berdoa meminta ampun kepada Allah. Sedangkan mereka menjelaskan bahawa Nabi Isa lebih suci daripada Nabi Muhammad SAW. Ayat-ayat al-Quran yang menjadi pegangan umat Islam juga dikatakan tidak betul kerana dalam al-Quran itu sendiri banyak ayat yang bertentangan antara satu sama lain, sedangkan menurut mereka bible tidak seperti itu. Malah banyak lagi perkara yang cuba ditonjolkan supaya umat Islam yang jahil agama menjadi keliru dan mula melihat agama kristian lebih baik. Perkara ini sangat bahaya terutamanya bagi generasi muda hari ini yang semakin meninggalkan amalan Islam kerana terpengaruh dengan fahaman Barat seperti liberalisme, pluralisme, hedonisme dan sebagainya lagi.
Seharusnya sejarah itu dipelajari supaya manusia mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa lalu. Sekiranya umat Islam khususnya anak muda menelaah, menyoroti serta membuat kajian terhadap sejarah-sejarah pengkristianan orang Melayu, faktor-faktor untuk mengkristiankan orang Melayu, sebab dan akibat mengkristiankan orang Melayu, nescaya kita sebagai umat Islam tidak akan ingin untuk mengikut jejak langkah mereka, tidak sesekali membiarkan diri terjerumus atau terpengaruh dengan ‘topeng’ kemodenan dan kemajuan mereka. Sejarah itu untuk diingati dan dijadikan iktibar, bukan untuk diulangi.
Sumber: Jurnal at-Tahkim, Vol.8(5), 2018