Home Liberalisme ISLAM YANG BENAR HANYALAH MENGIKUT TAFSIRAN ULAMA SALAF PEWARIS NABI BUKAN SEPERTI...

ISLAM YANG BENAR HANYALAH MENGIKUT TAFSIRAN ULAMA SALAF PEWARIS NABI BUKAN SEPERTI ISLAM LIBERAL YANG CUBA MENTAFSIR SEMULA ISLAM MENURUT AKAL DAN FAHAMAN LIBERAL SERTA SEKULAR BARAT

558
0

Golongan yang berfikiran Islam Liberal adalah satu aliran cara berfikir yang diadaptasi dari fikiran barat ke dalam ajaran agama Islam. Golongan ini terpengaruh dengan pandangan dan cara hidup barat dan peradabannya yang konon banyak menguasai dan mendominasi pelbagai bidang dan cabang ilmu dewasa ini.

Golongan Islam Liberal yang berpaksikan fikiran modernisme cuba membuat satu tafisran Islam yang baru mengikut konsep humanisme, hak dan kebebasan individu yang dikatakan sangat sesuai dengan dunia moden. Lalu mereka menggerakkan ideologi baru dengan menanam nilai-nilai baru dalam masyarakat serta mengubah persepsi, membentuk persepi baru makna pembangunan, kemajuan, pembangunan serta hak dan kebebasan individu.

Sandaran hujah mereka berasaskan kajian-kajian orientalis barat, metodologi kajian agama lain, hak kebebasan, politik dan ekonomi mengikut konteks barat, begitu juga dalam bidang falsafah sekularisme ternyata amat bercanggah dengan Islam. Biarpun begitu, golongan Islam Liberal ini menggunakan sandaran Islam agar mereka mendapat sokongan dan perhatian daripada golongan awam yang beragama Islam.

Dari satu sisi mereka dilihat seperti memperjuangkan Islam kerana dikatakan pemikiran itu sebagai sebahagian dari Islam. Dengan slogan kemajuan, golongan Islam Liberal ini menolak hujah-hujah ulama terdahulu dengan alasan pandangan ulama terdahulu tidak sesuai diguna pakai pada zaman ini. Tujuannya supaya pemikiran umat Islam dan ketamadunan Islam akan bertambah maju seiring dengan kemajuan sekularisme barat, maka umat Islam perlu mengikut gaya barat.

Tidak salah untuk mengejar kemajuan, tidak salah untuk hidup modern, Islam tidak pernah melarang umatnya untuk menikmati kebebasan. Namun, janganlah setiap tindakan yang dilakukan itu melebihi batas agama. Sesungguhnya Allah itu telah menyusun cantik setiap kejadian dan peraturannya demi kebaikan hamba-hambanya di dunia dan di akhirat.

Sumber: Kertas Seminar Antarabangsa Aqidah & Pemikiran Islam (IConAIT) 2016.