Home Kemanusiaan/Motivasi MEMBANTU UNTUK MEMUDAHKAN URUSAN ORANG LAIN ADALAH SATU KEUTAMAAN DAN AKAN ...

MEMBANTU UNTUK MEMUDAHKAN URUSAN ORANG LAIN ADALAH SATU KEUTAMAAN DAN AKAN MENDAPAT PERTOLONGAN ALLAH SWT DI DUNIA SERTA AKHIRAT

1599
0

Di dalam kehidupan di dunia ini, manusia sememangnya tidak dapat untuk hidup bersendirian atau berseorangan tanpa kewujudan anggota masyarakat di sekelilingnya. Ini kerana setiap manusia tidak mengira apa status sosial dan taraf kedudukan semestinya membiasakan diri hidup dan bergaul dalam kelompok masyarakat ramai. Mungkin inilah hikmahnya Allah SWT menciptakan manusia daripada pelbagai jenis keturunan dan bangsa untuk memakmurkan bumi yang terbentang luas ini di samping menggalas tugas untuk menyampaikan seruan Islam kepada sekalian alam semesta. Sebagaimana firmanNya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan dan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (QS Al – Hujurat: 13).

Di antara tugas sebagai seorang yang beragama Islam, selain menjaga hubungan dengan Allah SWT, kita juga hendaklah menjaga hubungan dengan manusia. Ini termasuklah dalam urusan membantu di antara satu sama lain ketika di dalam kesusahan atau dilanda ujian hidup. Sebagai contoh, dalam urusan memberi bantuan semasa rakyat Malaysia dilanda banjir baru-baru ini. Sabda Rasulullah SAW:

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya.” (HR Muslim).

Dalam sebuah hadis lain, Baginda SAW turut besabda:

Pertolongan Allah kepada seseorang juga tergantung pada pertolongan yang dilakukannya antara manusia. “Sesungguhnya Allah akan menolong seorang hamba-Nya selama hamba itu menolong orang lain.” (HR Muslim).

Lihat, mudahnya laluan kita hendak ke syurga. Allah SWT sudah melorongkan jalan kepada kita untuk menjadi hambaNya yang beriman dengan hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim melalui sikap bantu-membantu. Apakah kita tidak mahu? Justeru, sifat tolong-menolong ini amat dianjurkan di dalam Islam. Tahukah kita, tujuan kita membantu sesama manusia ini adalah untuk membantu diri kita sendiri di akhirat nanti? Ya, itulah sebabnya Allah amat mencintai hambaNya yang suka menyematkan sikap bantu-membantu di dalam diri mereka.

Sumber: Harian Metro (24 Jun 2021)