Humanisme adalah satu agenda yang berpusatkan kepada nilai manusia dalam membuat keputusan. Pemikiran humanisme ini telah melahirkan isme-isme yang baru seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme dan sebagainya sehingga ia menjadi satu ancaman dan serangan ke atas agama Islam.
Gerakan liberalisme ini dilihat semakin berkembang yang akhirnya menjadi satu agenda baru kepada kuasa Barat untuk melebar luaskan kefahaman ini ke dalam budaya dan masyarakat Islam. Akhirnya aliran ini menjadi satu agenda penjajahan Barat ke atas dunia Islam yang bertujuan mahu menguasai dunia seluruhnya.
Penulis ingin menyorotkan satu kejadian sambutan tahun baru 2022 yang diadakan di Arab Saudi baru-baru ini. Kerajaan Arab Saudi telah mengadakan konsert besar-besaran di Kota Riyadh dengan menjemput artis tempatan dan luar negara seperti Salman Khan sebagai simbolik sambutan tahun baru. Mengikut tradisinya negara arab tidak pernah mengadakan perayaan-perayaan yang berkonsepkan hiburan sehingga menjadikan negara tersebut sangat dihormati oleh umat Islam seluruh dunia.
Hal ini kerana negara tersebut sinonim dengan penempatan para nabi, rasul dan sahabat-sahabat, maka seharusnya tempat tersebut dihormati dan dipelihara dari perkara-perkara yang ‘lagha’ (melalaikan) atau yang membawa kepada kemaksiatan. Apatah lagi jika bentuk hiburan tersebut adalah haram kerana bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram dan terdapat perkara-perkara lain yang bercanggah dengan syariat.
Namun, perkembangan terakhir terutama di Arab Saudi sendiri memang sangat mengejutkan. Bukan sahaja diadakan konsert yang bercanggah dengan Islam malah dihadiri oleh lautan penonton yang mengalahkan konsert-konsert yang diadakan di negara Barat. Apakah petandanya hal yang berlaku ini? Bukankah ia menunjukkan umat Islam terutamanya di negara Arab yang dulunya dilihat sebagai masyarakat yang berpegang teguh kepada syariat Islam, kini sudah diracuni oleh pemikiran liberalisme Barat yang mementingkan kebebasan dan hiburan?
Bukan itu sahaja, di negara-negara arab juga dapat dilihat sedang berlumba-lumba untuk membina bangunan-bangunan pencakar langit yang kini semakin rancak. Pemimpin mereka juga menjalinkan kerjasama dan hubungan yang semakin baik dengan negara Israel serta negara Barat, memberi gambaran bahawa para pemerintah negara-negara arab kini semakin diresapi dengan pemikiran liberal. Kebebasan tanpa batasan dalam negara yang sememangnya rasmi sebagai negara Islam, terikut-ikut dengan budaya dan ideologi barat sedikit sebanyak mempamerkan pemerintah negara-negara Islam tersebut cuba membina dan membentuk pemikiran rakyat terutamanya anak-anak muda untuk menjadikan Barat sebagai idola.
Sedangkan sebagai umat Islam, kita tahu bahawa apa yang berlaku ini adalah antara tanda-tanda akhir zaman, namun mengapa pula pihak pemerintah negara Arab dan seluruh masyarakat Islam di dunia ini tidak mengambil iktibar untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah? Fikir-fikirkan.
Sumber: Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, Vol. 11(1), Universiti Sultan Zainal Abidin dan Berita Harian, 25 OGOS 2020