Amatlah mustahil untuk setiap manusia di dunia ini tidak memiliki sahabat walaupun seorang. Setiap daripada kita sudah tentu mempunyai sahabat yang paling rapat hinggakan semua perkara yang dilakukan mestilah bersama-sama. Namun, pernahkah kita terfikir untuk mendoakan kesejahteraan para sahabat kita? Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang hamba yang muslim apabila berdoa kepada saudaranya yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat berkata kepadanya: dan bagi kamu sepertinya (seperti yang didoakan).” (HR Muslim). Sebenarnya Islam tidak hanya mengajar kita supaya berdoa untuk diri sendiri sahaja. Dalam banyak keadaan, Islam menganjurkan supaya umat Islam saling mendoakan antara satu sama lain. Islam turut mengajar diri umatnya supaya mendoakan kebaikan untuk orang lain. Sebagai contoh, mendoakan para sahabat yang ada di sekeliling kita. Cuba ingat kembali jika ada di antara kita pernah berada dalam keadaan hidup yang sukar dan siapakah orang pertama yang datang menghulurkan bantuan selain keluarga? Tentunya sahabat-sahabat kita. Jadi sebagai tanda terima kasih kita kepada mereka, kita seharusnya mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat. Barulah hidup kita akan dirahmati Allah SWT dan hubungan silaturahim ini akan lebih diberkati oleh Allah SWT. Selain itu, doa seorang sahabat kepada sahabat yang lain ini bukanlah hanya kepada mereka yang masih hidup, malah Islam juga mengajar umatnya supaya mendoakan orang yang sudah meninggal dunia. Apatah lagi apabila antara perkara yang menyebabkan seseorang akan terus menerima hasanat (kebaikan) meskipun sudah meninggal dunia ialah doa daripada anak yang soleh. Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu.” (QS al-Hasyr: 10). Oleh itu, marilah sama-sama kita berdoa kepada sahabat atau saudara kita dalam setiap doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT. Ini kerana, doa memiliki kuasa atau kelebihannya yang tersendiri dan Allah SWT pasti akan memakbulkan setiap permintaan hambaNya tapi dengan cara yang berlainan. Semoga Allah SWT memakbulkan setiap doa kita serta menggolongkan kita daripada kalangan hamba yang menerima taufik dan hidayahNya. Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Home Kemanusiaan/Motivasi BERDOALAH UNTUK KEBAIKAN SAHABAT KITA NESCAYA AKAN DIDOAKAN OLEH MAILAKAT UNTUK KEBAIKAN...