Home Kemanusiaan/Motivasi BERSYUKURLAH ATAS SETIAP KELEBIHAN DAN KEKURANGAN NESCAYA ALLAH SWT AKAN TINGKATKAN KEIMANAN...

BERSYUKURLAH ATAS SETIAP KELEBIHAN DAN KEKURANGAN NESCAYA ALLAH SWT AKAN TINGKATKAN KEIMANAN DAN MEMBUKA PINTU-PINTU REZEKI

4929
0

Bersyukur atau rasa terima kasih kepada Allah SWT adalah satu perasaan atau sikap positif menghargai faedah atau nikmat yang telah atau akan diterima. Islam sangat menganjurkan umatnya agar sentiasa bersyukur di atas kelebihan dan kekurangan razeki dan nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Malah sifat syukur berada pada tahap tertinggi keimanan seseorang kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur atas semua anugerah diterima di dunia ini. Allah SWT berfirman:

“Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba Ku yang bersyukur.” (QS Saba’: 13).

Orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah SWT termasuk nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak serta keluarga, akan merasa kebahagiaan hidupnya. Allah SWT menjanjikan akan menambah nikmat bagi orang-orang yang bersyukur. Allah SWT berfirman:

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu. Jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS Ibrahim: 7).

Seterusnya, kita akan meraih ketenangan hidup dan meraih ganjaran syurga kerana Allah menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang sentiasa bersyukur seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan (sebaliknya) Allah memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (dengan nikmat Islam yang tidak ada bandingnya).” (QS Ali Imran: 144).

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman:

“Mengapa Allah akan menyiksa mu jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.” (QS an-Nisa’: 114).

Bersyukur mengajar kita erti lebih menghargai dengan setiap pemberian mahupun kurniaan Allah SWT. Justeru, syukur itu tidak terhenti hanya di dunia sebaliknya haruslah berkekalan hingga ke akhir hayat supaya terhindar daripada sifat kufur terhadap nikmat diberi.

Sumber: Sinar Harian (16 Februari 2020).