Home Kemanusiaan/Motivasi JAUHILAH KEPERCAYAAN DAN AMALAN KHURAFAT KERANA IA MENYESATKAN DAN MENDATANGKAN KEMURKAAN ALLAH...

JAUHILAH KEPERCAYAAN DAN AMALAN KHURAFAT KERANA IA MENYESATKAN DAN MENDATANGKAN KEMURKAAN ALLAH SWT

1089
0

Menurut istilah Usuluddin dan Falsafah Islam, khurafat bermaksud cerita karut, sama ada rekaan dan khayalan; atau perbuatan, sama ada ajaran, adat, pantang larang, ramalan dan pemujaan; atau kepercayaan yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.

Sejak kebelakangan ini, banyak sekali terjadinya pelbagai peristiwa yang boleh dikatakan sebagai amalan khurafat berlaku di negara ini. Amalan khurafat ini bukanlah suatu perkara yang baru malah ia telah dimulai sejak zaman purbakala lagi. Namun, seiring dengan pembangunan dan arus kemodenan, amalan-amalan tersebut lama-lama ditinggalkan selepas berkembangnya ajaran Islam di Tanah Melayu.

Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir kelompok umat Islam yang masih lagi mengamalkan amalan khurafat dengan tujuan untuk menolak bala dan sebagainya. Bukankah urusan takdir alam semesta itu urusan Allah SWT? Islam sangat menitik beratkan soal menjaga akidah agar tidak berlaku syirik. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan Nya (dengan apa jua sesuatu) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki Nya (menurut aturan syariat Nya), dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (QS An – Nisa’: 48).

Umat Islam mempunyai tanggungjawab melindungi agama daripada dijadikan bahan jenaka dan ketawa melalui upacara atau perbuatan berunsur syirik yang dilakukan di tempat awam untuk tontonan umum. Segala bentuk khurafat sama ada amalan atau kepercayaan boleh menjerumuskan manusia menjadi syirik. Pada hakikatnya mereka yang mengamalkannya semakin bertambah sesat, dan syaitan pula semakin bertambah sombong atas kejayaan menyesatkan anak Adam. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang menemui tukang tilik atau tukang sihir lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka ia telah mengingkari wahyu yang diturunkan kepada Muhammad SAW.”

Wahai umat Islam, jauhilah segala kepercayaan dan amalan khurafat. Ia tidak lain hanyalah dosa besar semata-mata dan tidak akan diampuni oleh Allah SWT kecuali dengan meninggalkannya dan melakukan taubat nasuha. Insaflah! Jauhilah khurafat demi membina generasi yang bertakwa.

Sumber: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)