Home Kemanusiaan/Motivasi BERHATI-HATILAH DENGAN HADIS PALSU!!! MENYEBARKANNYA ADALAH SATU PENDUSTAAN YANG AKAN DIAZAB OLEH...

BERHATI-HATILAH DENGAN HADIS PALSU!!! MENYEBARKANNYA ADALAH SATU PENDUSTAAN YANG AKAN DIAZAB OLEH ALLAH SWT DI AKHIRAT KELAK

124
0

Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak hadis-hadis palsu dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu bagi “menghalalkan” tuntutan nafsu mereka. Salah satu hadis palsu yang sering digunakan oleh masyarakat kita adalah hadis “payung emas”. Tahukah kita bahawa hadis tersebut adalah hadis palsu? Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, tiada istilah payung emas menurut mana-mana hadis, sebaliknya ia sebenarnya adalah hadis palsu.

Bukan hanya hadis “payung emas”, malah terdapat beberapa lagi hadis palsu yang rancak disebarkan di semua platform media sosial. Tahukah kita apakah kesannya kepada umat Islam jika sebaran hadis palsu ini berleluasa? Pegangan akidah umat Islam akan runtuh. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”. (HR al-Bukhari).

Menyebarkan hadis palsu tanpa menerangkan tentang kepalsuannya adalah merupakan satu dosa yang amat besar. Penipuan dan bersekongkol dengan penipuan adalah dosa menurut ajaran Islam. Bukan sahaja mengadakan hadis palsu itu dosa besar, menyebarkannya juga berkongsi dosa besar yang sama. Dalam era teknologi ini, begitu mudah sesuatu hadis palsu itu tersebar. Menerusi SMS, Email, Facebook, Twitter dan pelbagai lagi, ramai yang terlibat dengan kegiatan dosa menyebarkan hadis palsu ini.

Seharusnya dalam hal ini, kita wajib merujuk kepada pakar hadis ataupun portal-portal jabatan agama Islam milik Kerajaan Persekutuan ataupun Kerajaan Negeri. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita supaya menyelidik sesuatu maklumat untuk mengetahui kesahihannya? Di dalam surah al -Hujurat, ayat 6  Allah SWT berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

Jika tidak pasti, jangan disebarkan, selidik dahulu kebenaran dengan merujuk kepada matan perawi hadis. Satu kesilapan, akan mengakibatkan kekacauan. Maka berhati-hatilah! Perkukuhkan iman kita, jangan terpedaya.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perlis