Home Kemanusiaan/Motivasi MENGGUNAKAN TANGKAL DAN AZIMAT UNTUK MELARISKAN PERNIAGAAN ADALAH AMALAN SYIRIK DAN KHURAFAT...

MENGGUNAKAN TANGKAL DAN AZIMAT UNTUK MELARISKAN PERNIAGAAN ADALAH AMALAN SYIRIK DAN KHURAFAT YANG DILARANG KERAS DALAM ISLAM JAUHILAH!!!

828
0

Perniagaan merupakan pekerjaan mulia dalam usaha mencari rezeki malah Islam menggalakkan umatnya berusaha memperoleh pendapatan antaranya melalui perniagaan. Agama Islam menghalalkan jual beli dan menggalakkan perniagaan supaya umat Islam dapat memakmurkan dunia serta mampu menjana kekuatan ekonomi mereka. Di samping itu, ia menjauhkan diri daripada makan harta secara haram atau memiliki barang secara batil. Nabi Muhammad SAW sendiri sewaktu muda pernah berniaga hingga Baginda memperoleh keuntungan yang banyak. Begitu juga dengan para sahabat Baginda, ramai yang menceburi bidang perniagaan antaranya Abu Bakar RA, Uthman RA, Abdur Rahman bin Auf RA dan Talhah bin ‘Ubaidillah RA.

Dalam satu hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bermaksud:

“Sesungguhnya, seorang di antara kalian membawa tali-talinya dan pergi ke bukit untuk mencari kayu bakar yang diletakkan di belakangnya untuk dijual sehingga ia boleh mencukupkan keperluannya, adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik mereka memberi atau tidak.” (HR Bukhari).

Namun dalam kita melakukan perniagaan, kita seharusnya jujur dan bergantung kepada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Bukannya bergantung dengan perkara-perkara syirik dan khurafat seperti penggunaan tangkal dan azimat untuk melariskan jualan. Banyak kedai-kedai terutamanya kedai makan menggunakan ‘pelaris’ tertentu untuk mengaut keuntungan yang belipat ganda dengan cepat. Meletakkan benda-benda fizikal sebagai pelaris dan meyakini bahawa benda-benda tersebut menjadi penyebab bagi menarik pelanggan serta melariskan perniagaan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana pergantungan seseorang akan beralih kepada pelaris, bukannya kepada Allah SWT, ia adalah satu amalan khurafat yang boleh membawa kepada mensyirikkan dan menyekutukan Allah SWT. Sedangkan perbuatan mensyirikkan Allah SWT adalah dosa yang sangat besar dan Allah mengancam akan menempatkan sesiapa yang mensyirikkanNya ke dalam neraka. Allah SWT berfirman:

“Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” (QS al-Ma’idah 72).

Sesungguhnya Islam melarang sebarang penggunaan tangkal yang menyebabkan kesyirikkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin ‘Amir, Rasulullah SAW bersabda:

“Siapa yang menggantungkan tangkal, nescaya Allah SWT tidak akan selamatkannya dari tangkal itu. Dan siapa yang memakai azimat, nescaya Allah SWT tidak sempurnakan azimat itu.” (HR Baihaqi).

Berwaspadalah dalam melakukan perniagaan. Kita bukan sahaja mahu keberkatan di dalam rezeki kita tetapi juga mahukan keredhaan daripada Allah SWT di dalam hidup. Ingatlah, orang-orang yang bergantung harap kepada sesuatu benda dalam melariskan perniagaan mereka nescaya hidup mereka tidak akan tenang kerana telah mensyirikkan Allah SWT secara terang-terangan. Hindarilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan syirik dalam usaha kita mencari rezeki yang berkat. Sebaliknya, berusahalah dengan cara yang baik serta lazimi dan amalkanlah ayat-ayat Quran di samping bermohon kepada Allah agar dikurniakan rezeki dan keuntungan yang berganda dalam perniagaan.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang itu, lebih baik daripada ia memakan makanan yang hasil dari usaha tangannya sendiri dan sesungguhnya adalah Nabi Allah Daud AS memakan makanan yang hasil dari usaha tangannya sendiri.” (HR Bukhari).

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.