Peningkatan isu ateisme dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam perlu mempunyai pendekatan dan strategi yang berkesan dalam menanganinya kerana isu ini berkaitan dengan masalah keyakinan seseorang. Tindakan keras seperti penangkapan atau pemenjaraan terhadap individu yang disyaki terlibat mungkin berkesan dalam jangka pendek, namun dari segi jangka panjang pendekataan seperti ini kurang berkesan.
Keyakinan dan kepercayaan seseorang tidak cukup dengan dipenjara dan dibicarakan di hadapan pengadilan. Pemenjaraan secara fizikal tidak menjadikan individu terpenjara kerana fikiran dan minda mereka masih bebas, malah dikhuatiri direkrut pula anggota lain di sewaktu penahanan. Justeru itu, pendekatan secara hikmah dan bijaksana diperlukan bagi menangani masalah yang sangat serius ini. Misalnya, melalui dialog, perbincangan atau berbicara dari hati ke hati. Kerjasama antara para intelektual dan ulama juga diperlukan bagi ‘membuka’ minda golongan tersebut yang telah didoktrinkan dengan ideologi ‘ateisme’.
Bagi kumpulan intelektual, mereka diperlukan bagi menyediakan konsep dan rumusan pemikiran yang jitu dan tepat dalam mematahkan hujah kumpulan ateis. Kumpulan ulama pula merumuskan dalil-dalil keagamaan bagi meyakinkan semula keyakinan golongan ateis yang telah terjerumus dengan ideologi sesat. Manakalah pihak berkuasa perlu menyediakan prasarana seperti pusat pemulihan akidah, penguatkuasaan dan penyediaan dana bagi menjayakan program mengembalikan golongan ateisme ke jalan yang benar dan diredhai Allah.
Sumber: Majalah Dakwah Indonesia