Islam hari ini sering dipandang hina ekoran beberapa siri serangan puak2 ekstremis yang menggelarkan diri mereka ‘pejuang agama Allah’. Namun, Islam bukanlah seperti yang disangkakan. Agama Islam adalah agama kedamaian yang sangat membencikan keganasan.
Mengambil kira contoh Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip wasatiyyah. Prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang mula-mula sampai dan disebarkan ke negara ini. Lantaran itu, tiada dalam sejarah negara kita, Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, peperangan, pergaduhan dan kaedah rigid yang menyusahkan.
Firman Allah SWT:
“Dan Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.” (QS al-Baqarah:132)
Apa yang pasti, kekeliruan ini harus diperbetulkan kerana Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian dan kasih sayang. Terlalu banyak hujah dan contoh dalam sejarah serta tradisi Islam untuk membuktikan Islam sangat mementingkan kasih sayang dan kedamaian, hatta kepada makhluk lain selain daripada manusia sekalipun.
Harus ditekankan juga jika ada umat Islam yang melakukan keganasan terhadap orang tidak berdosa, mereka tidak mewakili Islam kerana tindakan mereka bercanggah dengan prinsip Islam. sebaliknya mereka melakukan hal tersebut dek kerana rasa benci dan dendam yang tidak terkawal. Masyarakat harus mengubah persepsi negatif terhadap Islam. Jangan menilai dan mengenali Islam daripada tingkah laku sebahagian umatnya atau berdasarkan laporan media yang kadangkala menyimpang atau daripada pemimpin politik tertentu yang hanya ingin mencari keuntungan politik, tetapi kenalilah Islam daripada sumber dan rujukannya.
Justeru, umat Islam juga perlu menampilkan sikap dan akhlak Islam sebenar agar menjadi cerminan nilai dan wajah sebenar Islam, seterusnya mengelakkan diri daripada menjadi fitnah kepada Islam. Amalkan konsep wasatiyyah ini dalam akidah, ibadah, akhlak dan interaksi bersama orang ramai kerana ia adalah yang terbaik. Jika wasatiyyah ini difahami, pandangan semua masyarakat juga akan berubah.
Sumber: Berita Harian “Islam bukan pencetus keganasan” (18 Mac 2017) dan Berita Harian “Amalkan konsep wasatiyyah elak jahil” (26 November 2017)