Ajaran sesat Millah Ibrahim@Millah Abraham adalah ajaran yang diasaskan oleh seorang warga Indonesia yang berasal dari Bogor yang bernama Ahmad Musadeq. Ajaran Millah Ibrahim ini terdapat dalam beberapa nama tetapi sebenarnya membawa ajaran dan fahaman yang sama. Peringkat awal, ajaran ini dinamakan al-Qiyadah dan kemudiannya ditukar kepada Millah Ibrahim. Ahmad Musadeq juga yang menjadi pengasas kepada gerakan Al-Qiyadah tersebut dan ditubuhkan sekitar tahun 2000. Selain itu, terdapat beberapa nama lain lagi bagi gerakan Millah Ibrahim iaitu Gerakan Pemuda Al-Kahfi yang berpusat di Pondok Pasentren al-Zayton, Inderamaya, Jawa Barat. Pada tahun 2011 pula, satu gerakan kebajikan (NGO) yang dinamakan Gerakan Fajar Nusantara (Gafatar) yang berpusat di Jakarta ditubuhkan yang juga membawa ajaran Millah Ibrahim tetapi berselindung di sebalik pertubuhan kebajikan.
Pengasas gerakan Millah Ibrahim ini dikatakan sering datang ke Malaysia sejak tahun 2000 lagi untuk menyebarkan ajaran tersebut. Sekitar tahun 2014, dianggarkan lebih 5000 pengikutnya dikesan di negara ini terutamanya di Pahang dan Selangor.
Ajaran Millah Ibrahim ini telah difatwakan sesat dan diharamkan oleh beberapa Majlis Fatwa Negeri dan difatwakan sebagai ajaran sesat oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2016. Terdapat beberapa penangkapan telah dibuat terhadap individu yang mengamalkan dan menyebarkan ajaran Millah Ibrahim ini sejak tahun 2014 – 2016 dan langkah-langkah pemulihan juga telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama yang terlibat. Namun, akhir-akhir ini terdapat beberapa aduan dan penangkapan pengikut ajaran Millah Ibrahi. Ini menunjukkan ajaran Millah Ibrahimcuba dihidupkan semula. Persoalannya, apakah ajaran sesat ini kembali aktif? Apakah misi mereka yang ingin dicapai serta persiapannya?
Secara faktanya, ajaran Millah Ibrahim bukan sahaja ajaran sesat yang bercanggah dengan akidah Islam malah ajaran Millah Ibrahim ini mengambil strategi yang menyamai strategi kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) yang suatu ketika dahulu bergerak dengan jalan jihad untuk melancarkan gerakan bersenjata atas nama jihad bagi menubuhkan sebuah Negara Islam. NII berjaya membentuk gagasan Negara Islam di beberapa kawasan di Indonesia sekitar tahun 50an sebelum dihancurkan oleh kerajaan Indonesia yang menganggap NII adalah pemberontak.
Disebabkan pengasas ajaran Millah Ibrahim, Ahmad Musadeq pernah menjadi anggota NII tetapi keluar daripada NII dan membuat ajaran baru, maka matlamat dan strategi perjuangannya hampir sama dengan matlamat dan perjuangan NII iaitu untuk membentuk sebuah Daulah Islam mengikut acuannya iaitu dengan jalan jihad.
Dalam hal ini, ajaran Millah Ibrahim mempunyai 6 tahap sebagai strategi untuk membentuk Daulah Islamiyah iaitu (1) berdakwah secara rahsia, (2) berdakwah secara terang-terang, (3) berhijrah mencari pengkalan untuk menegakkan perjuangannya, (4) jihad ‘Qital’ (perang melawan musuh iaitu orang yang tidak berpegang kepada ajarannya), (5) ‘futuh’ iaitu kemenangan yang membawa kepada membina negara sendiri, dan (6) mendirikan Negara Islam atau Khalifah.
Ajaran Millah Ibrahim ini dikatakan sesat kerana membawa ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariat Islam seperti berikut:
i. Mendakwa ajaran Islam sekarang adalah palsu dan mendakwa Rasul Millah Ibrahim iaitu Ahmad Musadeq telah diutuskan oleh Allah sebagai Rasul kepada kaum Melayu Nusantara berasaskan Surah Yunus, ayat 47 yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya)…”;
ii. Menggabungkan tiga ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Selain terjemahan al-Quran, mereka juga menggunakan kitab Taurat dan Injil atas alasan di dalam al-Quran (Surah al-Maidah, ayat 46) telah membenarkan penggunaannya dan menerangkan bahawa dua kitab tersebut sebagai petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi panduan yang menerangi;
iii. Meninggalkan solat lima waktu dan solat jumaat;
iv. Mewajibkan bai’ah (perjanjian) dan dihalalkan untuk memutuskan hubungan keluarga termasuk suami isteri jika pasangan enggan menyertai ajaran Millah Ibrahim.
Fakta-fakta ini secara jelasnya telah menggambarkan bahawa ideologi-ideologi ajaran Millah Ibrahim ini adalah bercanggah sama sekali dengan ajaran Islam sebenar. Justeru itu, mengapa masih percaya dengan dakyah yang ditaburkan oleh mereka? Seharusnya kita menjauhi fahaman yang menyeleweng seperti ajaran sesat Millah Ibrahim tersebut sebagaimana nasihat Umar Ibn al-Khattab RA yang bermaksud: “Kembali kepada kebenaran itu lebih baik dari berterusan di dalam kebatilan”.
Sumber: Bayyan Linnas Siri ke-50- SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Sinar Harian – 16 OKT 2020