Home Kemanusiaan/Motivasi GIMIK SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1445 HIJRAH PEMURNIAAN DAN TAFSIRAN KE ATAS ALAM...

GIMIK SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1445 HIJRAH PEMURNIAAN DAN TAFSIRAN KE ATAS ALAM SEMESTA CIPTAAN ALLAH SWT

159
0

Heboh sehari dua ini berkenaan dengan gimik sambutan Maal Hijrah yang dikatakan menyimpang dari amalan sambutan yang sebelumnya. Rata – rata komen netizen menyelar tindakan kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang membenarkan gimik – gimik sedemikian diadakan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Facebook rasmi JAKIM, ia menerangkan bahawa gimik yang dipertontonkan itu memberi penekanan mengenai Tafsir Ilmi Kejadian Langit & Bumi yang membawa maksud tafsir yang membincangkan tentang perkara-perkara saintifik dan ilmiah di dalam metafora ayat-ayat al-Quran. Dalam erti kata lain, persembahan tersebut sebahagian daripada penyelusuran perjalanan Tafsir Ilmi yang merupakan perjuangan untuk memfokuskan seluruh pancaindera mengakui keagungan Ilahi berlandaskan Al-Quran.

Di samping itu, tujuan persembahan itu juga menunjukkan tanda kekuasaan dan kebijaksanaan Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Eksplorasi ini dapat mengacu akal pada batas pengetahuan, minat dan pengalaman sebagai inspirasi untuk menjelajahi kehidupan dan meningkatkan keimananan dalam diri. Ini secara tidak langsung membuatkan manusia untuk berfikir dan mengkaji tentang penciptaan langit dan bumi dan proses-proses yang berkaitan dengannya tidak dapat dipisahkan daripada sains dengan menggunakan pendekatan yang saintifik, sebagaimana yang telah dilakukan oleh saintis Muslim sebelum ini.

Selain itu, konsep persembahan itu juga turut membawa peringatan bahawa dalam penciptaan langit dan bumi, manusia adakalanya sering terlupa akan kekuasaan zat Allah SWT sebagai penakluk semesta. Kealpaan manusia mengejar arus modenisasi menjadikan adakalanya menjadi manusia khilaf akan batasan akal dan hukum alam. Tuntasnya, sebagai khalifah di muka bumi ini, adalah menjadi kewajiban kita untuk melestarikan alam sekitar dan menguruskan khazanah yang diamanahkan oleh Allah SWT. Sains dan teknologi bukanlah musuh peradaban tetapi medium keharmonian jika disantuni dengan bijaksana.

Bukan itu sahaja, pergerakan tari yang dipersembahkan pula adalah mengambil rujukan dari seni mempertahankan diri seperti silat, pergerakan kemudiannya direka mengikut lirik lagu menggambarkan kejayaan. Dalam menuju arus kemodenan, jati diri tetap tidak dilupakan sebagai bekalan menghadapi cabaran semasa.

Apa yang cuba disampaikan oleh kerajaan melalui gimik persembahan Maal Hijrah pada Isnin lalu adalah untuk semua umat Islam kembali kepada fitrah asal kejadian manusia dan alam oleh Allah SWT. Hal ini kerana kita sudah jauh menyimpang dari tujuan hidup yang sebenar. Oleh itu, gimik ini diadakan bagi memberi kesedaran kepada semua golongan Muslim bahawa alam ini dan seluruh kehidupannya bergantung kepada Allah SWT dan kita sebagai khalifah di muka bumi harus menjaganya dengan baik demi untuk mendapatkan balasan di akhirat sana.

Sumber: Facebook Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)