Home Kemanusiaan/Motivasi SAYANGILAH SESAMA MUKMIN KERANA SETIAP MUKMIN ITU BERSAUDARA

SAYANGILAH SESAMA MUKMIN KERANA SETIAP MUKMIN ITU BERSAUDARA

1178
0

Setiap manusia yang lahir ke dunia ini telah disusunkan rencana hidup oleh Allah SWT dengan peranannya masing-masing. Sebagai umat Islam, kita juga tidak terkecuali daripada mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri. Tidak kira sama ada peranan terhadap keluarga dan masyarakat, ia wajib dilaksanakan dan sudah boleh dikira sebagai satu bentuk fardhu kifayah.

Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang Muslim saudara terhadap sesama Muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya oleh orang lain. Dan siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Dan siapa yang melapangkan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutupi aib seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat.” (HR Bukhari:2262)

Hadis di atas sudah cukup menerangkan betapa besarnya peranan kita terhadap saudara sesama Islam. Islam adalah agama yang mementingkan ikatan persaudaraan. Walaupun tiada pertalian darah, hubungan persaudaraan itu amat kuat apabila diikat dengan ikatan agama (Islam). Oleh itu, Islam melarang keras perbuatan menzalimi atau menganiayai Muslim yang lain dan membiarkan Muslim yang lain dizalimi.

Ketahuilah bahawa setiap mukmin diumpamakan seperti satu tubuh badan. Jika salah satu anggotanya sakit, seluruh anggota turut menanggung kesusahan. Sayangilah saudara mukmin kita seperti mana kita sayang kepada diri kita. Jika mereka susah atau sakit, maka sudah menjadi kewajipan kita untuk membantu mereka dan jangan biarkan mereka berterusan menanggung kesusahan sedangkan kita duduk bersenang-lenang. Ini kerana setiap mukmin itu bersaudara.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)