Home Ektremisme/radikalisme PERGOLAKAN GAZA-ISRAEL TURUT MEMBERI ANCAMAN KESELAMATAN KEPADA NEGARA

PERGOLAKAN GAZA-ISRAEL TURUT MEMBERI ANCAMAN KESELAMATAN KEPADA NEGARA

54
0

Umum mengetahui konflik Gaza-Israel yang berlaku semenjak dahulu seolah-olah tiada penghujungnya sehingga kini. Malah semakin buruk tatkala Israel melakukan ‘genocide’ dan terrorisme terhadap warga Palestin yang jelasnya menyalahi etika peperangan dan kemanusiaan.

Rentetan sejarah konflik ini, Malaysia berpendirian tegas menyokong Palestin sepenuhnya bukan hanya kerana faktor agama, juga atas faktor keperimanusiaan. Ketidak ketamadunan Israel juga turut memperteguhkan lagi pendirian Malaysia untuk terus tidak menjalankan sebarang hubungan diplomatik dengan Israel. Atas fakta ini, pintu negara terbuka kepada warga Palestin, penempatan pelarian Gaza turut disediakan, bantuan untuk warga di sana dihulurkan, malah mereka turut boleh menikmati kemudahan di Malaysia seperti mendapatkan pendidikan, pekerjaan dan sebagainya sepertimana kelebihan yang diperolehi warga asing lain di negara ini.

Jaminan keselamatan ini menyebabkan Israel beranggapan bahawa warga Palestin selamat di bawah lindungan Malaysia. Perkara ini menjadi asbab Israel menghantar agen-agen perisiknya ke Malaysia untuk memburu warga Palestin yang berkepentingan. Hal ini bukanlah kali pertama berlaku di Malaysia, seperti pada tahun 2018, seorang saintis Palestin ditembak mati oleh dua lelaki yang didakwa oleh Hamas sebagai agen Mossad Israel. 2023, seorang pensyarah universiti tempatan warga Palestin turut diburu, dan terkini berlakunya tangkapan seorang agen Israel bersama enam pucuk pistol serta 200 butir peluru dikatakan menyusup ke Malaysia dengan menggunakan pasport samaran kononnya untuk membunuh seterunya. Lebih membimbangkan apabila bekalan senjata itu dibekalkan oleh warga tempatan.

Hal serius ini menunjukkan bahawa ancaman keselamatan turut berlaku di Malaysia rentetan konflik berlaku di luar negara antaranya atas faktor-faktor seperti di atas. Keterlibatan warga tempatan membuka ruang tanggapan dan persoalan adakah masih ramai lagi rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan agenda Zionis? Perkara ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan dikhuatiri mampu mencetuskan ketidakharmonian dan konflik di dalam negara.

Justeru itu, pihak-pihak berwajib perlulah tingkatkan keselamatan di seluruh ‘pintu-pintu’ negara mahupun dalam negara bagi memastikan jaminan keselamatan rakyat di tahap maksima. Masyarakat juga disarankan supaya menjaga adab lebih-lebih lagi di media sosial dengan tidak menimbulkan sebarang provokasi mahupun komentar yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia_ APR 2024 dan Harian Metro 31 MAC 2024