Home Liberalisme PENYEBARAN FAHAMAN LIBERAL BOLEH MENCETUSKAN KONFLIK DALAM MASYARAKAT YANG AKAN MENGANCAM KESELAMATAN...

PENYEBARAN FAHAMAN LIBERAL BOLEH MENCETUSKAN KONFLIK DALAM MASYARAKAT YANG AKAN MENGANCAM KESELAMATAN NEGARA

1296
0

Liberalisme adalah satu bentuk fahaman sekularisme iaitu memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas dari ketentuan agama. Persoalannya, mengapa fahaman liberalisme ini dianggap bahaya dan boleh memberikan ancaman keselamatan kepada negara?

Di Malaysia, golongan Islam Liberal ini dilihat mula memperjuangkan pelbagai isu bertujuan menyebarkan idea liberalisme secara meluas. Antaranya ialah memperjuangkan fahaman pluralism agama dengan menyamaratakan semua agama, agar kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi dapat dihapuskan.

Perkara ini secara tidak langsung boleh membawa kepada gejala murtad lebih-lebih lagi apabila terdapat salah satu tuntutan Surahanjaya Antara Agama (Interfaith Commission) supaya membenarkan orang Islam murtad tanpa dikenakan apa-apa halangan dan tindakan.

Selain itu, golongan fahaman ‘Islam liberal’ juga berusaha untuk menghapuskan kedaulatan agama Islam. Mereka menyatakan bahawa agama Islam dalam perlembagaan hanya sekadar agama rasmi sahaja. Tujuannya supaya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular berpaksikan demokrasi liberal yang tidak terikat dengan agama Islam.

Mereka turut menentang pemerkasaan terhadap Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah. Malah, mereka juga berani bercadang untuk menghapuskan institusi-institusi agama Islam di Malaysia.

Secara jelasnya, fahaman liberalisme ini yang menafikan wujudnya hubungan antara agama dengan kehidupan dan menganggap agama sebagai rantai yang mengikat kebebasan perlu dibendung penyebarannya. Dikhuatiri perpecahan boleh berlaku dalam kalangan masyarakat dan akhirnya mengancam keselamatan negara.

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor.