Masih lagi kita dalam bulan Syawal di mana seluruh umat Islam di seluruh dunia meraikan hari kemenangan ini selama sebulan. Ketibaan Aidilfitri merupakan hadiah Allah SWT yang istimewa buat Muslim yang berjaya mengharungi segala ujian sepanjang bulan Ramadan. Muslim yang benar-benar mendapat kedudukan muttaqin (orang yang bertaqwa) di sisiNya setelah berusaha bersungguh-sungguh dengan berpuasa dan menghidupkan malam-malam Ramadan dengan amalan soleh, maka golongan inilah yang paling layak menerima hadiah Aidilfitri. Mereka menangis dengan pemergian Ramadan, lalu memaknai Syawal dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT yang memberi segala nikmat.
Rumah terbuka atau open house sudah sinonim dalam kalangan umat Islam hari ini terutamanya apabila tibanya Syawal. Syawal juga dirasakan seolah-olah tidak lengkap tanpa mengadakan rumah terbuka. Justeru amalan ini menjadi satu perkara yang terpuji kerana bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturrahim.” (HR Bukhari & Muslim).
Namun, ada suatu hal yang sukar dibendung oleh masyarakat kita pada hari ini adalah adab dalam menjaga tatasusila dan kesopanan semasa melakukan ziarah semasa Hari Raya. Jika kita lihat pada ‘posting-posting’ sesetengah netizen yang menceritakan perihal keletah dan ragam tetamu semasa di Hari Raya, banyak yang negatif daripada yang positif. Dalam menziarahi majlis rumah terbuka umat Islam wajib menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang secara jelas dilarang oleh Allah SWT. Ada dalam kalangan umat Islam yang merosakkan ketaatannya selama sebulan sepanjang Ramadan hanya pada hari pertama Syawal. Mengadakan rumah terbuka dengan melayan tetamu sehingga meninggalkan solat, tidak menutup aurat, pergaulan bebas tanpa batas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, makan yang terlampau sehingga membahayakan kesihatan dan sebagainya.
Sebagai tetamu, seboleh-bolehnya kita menjaga adab dan tatasusila semasa bertandang ke rumah orang. Hormati tuan rumah dan jangan berkata sesuatu yang tidak enak baik dari segi suasana ataupun juadah yang disediakan. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum, hendaklah dia duduk di tempat yang telah disediakan kerana kaum itu (tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka.” (HR Bukhari).
Oleh itu, elakkan sengaja menunggu sambil berbual dalam jangka masa lama. Hormatilah tuan rumah dan orang di sekeliling dengan memakai pakaian bersesuaian supaya hari raya disambut berlandaskan syariat ditetapkan supaya tidak dicemari amalan yang menyalahi syarak. Matlamat utama dalam melakukan ziarah di Aidilfitri adalah untuk merapatkan silaturahim dan saling bermaafan. Jadi, jangan cemari dengan sesuatu hal yang mengundang ketidakselesaan orang lain mahupun tuan rumah itu sendiri. Patuh dan pilihlah waktu sesuai untuk berkunjung, tidak makan berlebihan serta tidak menyinggung hati tuan rumah melalui tingkah laku atau kata-kata yang diucapkan. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (QS Al – Hujurat: 10).
Sumber: Berita Harian (4 Julai 2017)