Home Kemanusiaan/Motivasi JADILAH HAMBA ALLAH BUKANNYA HAMBA RAMADAN TERUSKANLAH MELAKUKAN KEBAIKAN MESKIPUN RAMADAN SUDAH...

JADILAH HAMBA ALLAH BUKANNYA HAMBA RAMADAN TERUSKANLAH MELAKUKAN KEBAIKAN MESKIPUN RAMADAN SUDAH BERAKHIR

594
0

Ada di antara kita ini yang melakukan amal kebaikan hanya ketika pada bulan Ramadan kerana mahu memperolehi ganjaran pahala yang berganda. Namun apabila berakhir bulan Ramadan, mereka berhenti daripada melakukan kebaikan seperti yang mereka lakukan di bulan Ramadan. Mereka tidak lagi solat malam, tidak lagi sedekah, tidak lagi membaca quran dan tidak lagi melakukan amal kebaikan lain yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Amal kebaikan yang dilakukan dalam bulan Ramadan hanya semata-mata ingin mendapatkan pahala berganda yang Allah tawarkan. Melakukan amal ibadah dan kebaikan hanya di bulan Ramadan sahaja adalah konsep yang tidak menepati kehendak Islam. Memang tidak salah malah kita dituntut memperbanyakkan amal ibadah dan amal kebaikan di bulan Ramadan demi untuk meraih berbagai keistimewaan Ramadan yang Allah SWT tawarkan. Namun, jika selepas Ramadan, segala amal kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadan kita hentikan, adalah tidak betul. Konsep beribadah seperti inilah yang disifatkan oleh Sheikh Yusof Al-Qardawi sebagai “menjadi hamba Ramadan bukannya menjadi hamba Allah” kerana Allah memerintahkan supaya hambaNya beribadah dan melakukan amal kebaikan sepanjang masa, bukannya hanya terbatas di bulan Ramadan sahaja.

Berbuat baik adalah tuntutan agama yang perlu dilakukan sepanjang masa. Berbuat baik akan memberi manfaat kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Allah SWT berfirman:

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (QS Al – Isra’: 7).

Seharusnya sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk melakukan kebaikan tanpa mengira masa dan waktu. Melakukan kebaikan tidak tertakluk kepada masa dan waktu, malah ianya dilakukan dengan segera selagi mana ia diperlukan. Dalam konteks ini, kita diperintahkan berbuat baik kepada manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Malah, sebenarnya tuntutan berbuat baik (ihsan) adalah kepada semua makhluk ciptaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu.” (HR Tirmizi).

Maka dengan itu, jangan pernah berkira melakukan kebaikan dalam bulan-bulan tertentu sahaja. Sentiasalah melakukan kebaikan tanpa jemu. Didiklah hati kita agar tidak jemu melakukan kebaikan kerana sesungguhnya rahmat Allah SWT itu sangat dekat kepada orang yang sentiasa melakukan amal kebaikan dan bersifat dengan sifat orang yang muhsinin. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang muhsinin.” (Sur-A’raf: 56).

Sumber: Portal Ismaweb.net