Di akhir zaman ini, banyak sekali fitnah yang sering timbul di kalangan umat Islam. Baik dari kalangan marhaen, mahupun para pendakwah, semuanya tidak terkecuali terpalit dengan fitnah yang berleluasa akibat kerakusan manusia. Islam menegah perbuatan fitnah ini bagi menjaga keharmonian masyarakat khususnya sesama Islam. Nabi SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:
“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (HR Bukhari).
Pada hari ini, fitnah berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding pada masa lampau. Hal ini kerana, perkembangan teknologi yang semakin rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar hanya dengan jari jemari yang rancak menulis di laman sosial Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan lain-lain. Pada hari ini golongan yang menyebarkan fitnah ini mempunyai niat dan berkehendak kepada sesuatu yang bernilai seperti meraih sesuatu jawatan penting, dominasi perniagaan, politik, kedengkian terhadap kejayaan seseorang dan lain-lain.
Dalam al-Quran, Allah SWT menempelak mereka yang menyebarkan berita tanpa usul periksa. Dalam firmaNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.” (QS al-Nur: 11-12).
Bukan itu sahaja, Allah SWT juga telah menjelaskan balasan yang akan dirasai oleh mereka yang suka menfitnah. Allah SWT berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (QS al-Nur: 9).
Oleh itu, jangan mulakan walau sekecil-kecil fitnah, kelak membarah memusnahkan diri. berhati-hatilah apabila berkata-kata atau menyebarkan kata sama ada melalui lisan atau penulisan supaya tiada tercetusnya api fitnah yang bermula kecil dan akhirnya membesar sehingga membakar diri sendiri. Jangan biarkan diri kita terpalit dengan bahaya fitnah akhir zaman yang semakin membarah ini. Sabda Rasulullah SAW:
“Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali.” (HR Muslim).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan