Home Kemanusiaan/Motivasi BERAKHLAK MULIA ADALAH TANDA KESEMPURNAAN IMAN SERTA LAMBANG KETAMADUNAN BANGSA DAN NEGARA

BERAKHLAK MULIA ADALAH TANDA KESEMPURNAAN IMAN SERTA LAMBANG KETAMADUNAN BANGSA DAN NEGARA

800
0

Agama Islam amat menganjurkan agar umatnya memiliki akhlak yang mulia dan terpuji. Pembinaan akhlak sangat penting kerana sesuatu bangsa atau negara hanya akan berjaya apabila warganya terdiri daripada golongan yang berakhlak luhur. Bak kata – kata indah, “tanpa gula, kuranglah manisnya”. Begitulah juga dengan kepentingan akhlak pada manusia kerana hilanglah kesempurnaan pada insan andai tidak dipupuk akhlak yang cukup bermakna dalam kerohanian setiap insan.

Sekiranya kita meneliti hadis-hadis Nabi, kita akan dapati bagaimana Rasulullah SAW sangat menitik-beratkan keperibadian yang mulia. Rasulullah SAW amat sayang kepada orang yang berakhlak mulia.

Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa orang yang paling sempura imannya adalah orang yang berakhlak mulia. Sabda Rasulullah SAW:

“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah mukmin yang paling baik akhlaknya”. (HR al-Tirmizi).

Malah Rasulullah menegaskan bahawa timbangan amalan yang paling berat adalah terletak pada akhlak yang mulia. Sabda Rasulullah SAW:

“Tiada suatu perkara yang lebih berat timbangan amalannya melainkan dari akhlak yang mulia” (HR al-Tirmizi).

Oleh itu, marilah kita menjadi seorang Muslim yang kaya hati, berakhlak mulia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa).” (HR Bukhari).

Apabila masyarakat hari ini tidak berakhlak seperti yang telah digariskan oleh Islam maka kesanya timbul lah pelbagai-bagai kesan negatif yang menjadi barah dalam masyarakat dan meruntuhkan nilai-nilai moral di kalangan umat Islam ketika ini. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai kes keruntuhan moral terutamanya yang melibatkan anak remaja, misalnya kes ragut, bunuh, dadah, rompak, buang bayi, rogol, pecah amanah dan sebagainya lagi. Semakin hari kes-kes sebegini menjadi semakin sukar untuk dibendung yang mana akhirnya akan menjadi barah dalam masyarakat Islam.

Begitulah betapa besarnya pengaruh akhlak dalam pembentukan sesuatu pembinaan masyarakat bertamadun. Ianya merupakan satu proses yang panjang dan kesannya tidak dapat dilihat dalam masa yang singkat. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan ianya tidak lain dengan kembali kepada ajaran dan nilai-nilai Islam yang sebenar.

Dalam kehidupan kita yang singkat ini, adalah lebih baik untuk kita renungkan kembali apa tujuan dan matlamat hidup kita? Sudah tentu untuk menjadi seseorang yang berguna dan memberi manfaat kepada orang lain. Bagaimana kita akan jadi seorang Muslim yang baik dan memberi manfaat kepada orang lain jika kita tidak memiliki akhlak yang baik?

Oleh itu, hiasilah diri kita dengan akhlak yang mulia dan terpuji. Moga hati kita bersih dari sifat buruk dan keji akan mendapat keredhaan dan kasih sayang Allah SWT serta memberi manfaat kepada insan yang lain dan seterusnya akan mewujudkan masyarakat yang berjaya dan bertamadun.

Sumber: Koleksi Hadis Siti Zaleha Omain/ people @ UTM (https://people.utm.my/szaleha/2017/02/24/1-hari-1-hadis-jadilah-org-yg-kaya-hati/).