Home Ajaran Sesat MEMELIHARA MAQASID SYARIAH KUNCI UTAMA TERHINDAR DARI ANASIR YANG MENYESATKAN

MEMELIHARA MAQASID SYARIAH KUNCI UTAMA TERHINDAR DARI ANASIR YANG MENYESATKAN

233
0

Memelihara agama adalah tuntutan penting di dalam maqasid syariah lebih-lebih lagi ketika umat Islam mendepani penularan aliran fahaman yang menyeleweng melalui pelbagai medium baharu pada zaman kecanggihan teknologi kini. Perkara ini tidak pelik kerana dalam sejarah Islam semenjak zaman Nabi Muhammad SAW lagi telah wujudnya ajaran sesat.

Contohnya ajaran yang dibawa oleh Musailamah al-Kazzab yang mendakwa dirinya nabi dan mereka-reka ayat untuk menyaingi al-Quran. Peristiwa ini menunjukkan bahawa sifat melampau yang disebabkan oleh kejahilan, kekeliruan dan keingkaran terhadap batasan agama telah menjadi punca kesesatan kebanyakan manusia.

Justeru itu, marilah sama-sama memelihara diri dan keluarga agar berpegang kepada manhaj akidah yang sahih sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, bahawanya Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya telah bepecah Bani Israel kepada tujuh puluh dua kelompok. Manakala umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kelompok di mana kesemuanya akan ke neraka kecuali satu kelompok. Mereka bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Mereka ialah golongan yang berpegang kepada ajaranku dan para Sahabatku”.

Sesungguhnya pegangan kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan jalan yang betul, selamat, jelas dan tiada kekeliruan bersandarkan sumber al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qias.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan