Home Kemanusiaan/Motivasi BERSEDEKAHLAH KERANA SEDEKAH ADALAH AMALAN MULIA YANG MENJADI KUNCI KEPADA KEBERKATAN SERTA...

BERSEDEKAHLAH KERANA SEDEKAH ADALAH AMALAN MULIA YANG MENJADI KUNCI KEPADA KEBERKATAN SERTA KEBAHAGIAAN DI DUNIA DAN DI AKHIRAT

710
0

Sedekah adalah amalan yang sangat mulia dan sangat dituntut dalam Islam. Allah menjanjikan berbagai kebaikan di dunia dan akhirat bagi orang-orang yang bersedekah. Antaranya:

Orang yang bersedekah itu tidak menjadi miskin malah ia lebih membuatkan seseorang itu “kaya” pada pandangan mata Allah SWT. Ini sebagaimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti Allah tambahkan kebaikan baginya.” (HR Muslim).

Sedekah dapat menghapuskan dosa bahkan dapat membebaskan seseorang dari siksa kubur sepertimana sabda Rasulullah SAW:

“Sedekah dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR at-Tirmizi).

“Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.” (HR at-Thabrani).

Allah juga akan melipatgandakan pahala bagi orang-orang yang bersedekah seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (QS al-Baqarah:261).

Orang yang bersedekah juga akan mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda berkenaan tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan di akhirat kelak, salah satunya adalah:

“Seorang yang bersedekah dengan kanan tangannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (HR al-Bukhari).

Sementara itu, Allah SWT menyediakan pintu syurga yang khusus bagi orang yang bersedekah. Rasulullah SAW bersabda:

“Jika dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” (HR al-Bukhari).

Oleh itu, sebagai umat Islam yang pandai menyeimbangkan antara duniawi dan ukhrawi, kita perlu menyiapkan bekalan akhirat kita. Selain daripada menjaga solat dan amalan, kita harus mempersiapkan “bekalan” kita daripada segi amal jariah yang dilakukan. Salah satunya adalah sedekah. Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran berkaitan kelebihan sedekah secara jelas agar dapat diamalkan oleh manusia ketika masih lagi berpeluang untuk melakukannya. Allah berfirman maksudnya:

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.” (QS al-Baqarah: 265).

Kesimpulannya, kehidupan manusia yang bersifat sementara ini perlulah diisikan dengan pelbagai amalan antaranya sedekah yang banyak kelebihan yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Walaupun ada yang mendabik dada dengan mengatakan bahawa dia sudah pun menjaga solat dan amalan lainnya, itu tidak menjanjikan jaminan bahawa terdapat pahala untuknya. Kita perlu “top – up” dengan amal jariah yang lain seperti bersedekah. Perbanyakkanlah amalan sedekah mulai hari ini agar menjadi “bekalan” tambahan untuk kita menuju ke alam akhirat. Ketahuilah bahawa amalan sedekah itu akan membawa keberkatan dan kebahgiaan untuk kehidupan di dunia dan di akhirat.

Sumber: Majlis Islam Sarawak (MIS)