Home Kemanusiaan/Motivasi JAUHI PERASAAN IRI HATI ATAU DENGKI KERANA AMALAN KEBAIKAN YANG DISERTAI SIFAT...

JAUHI PERASAAN IRI HATI ATAU DENGKI KERANA AMALAN KEBAIKAN YANG DISERTAI SIFAT MAZMUMAH TERSEBUT TIDAK AKAN DITERIMA OLEH ALLAH SWT

1120
0

Setiap manusia di dunia ini dikurniakan pelbagai sifat. Ada sifat pemurah, bakhil, penyayang, pemurah dan sebagainya. Akan tetapi, ada salah satu sifat yang paling dibenci oleh Allah SWT iaitu sifat iri hati atau dengki. Hasad dengki timbul daripada perasaan tidak senang yang muncul dalam hati seseorang terhadap seseorang yang lain. Sifat ini berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap nikmat atau kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain.” (QS An – Nisa’: 32).

Memang semua daripada kita rambut sama hitam, akan tetapi hati masing-masing mempunyai niat yang berlainan. Ada sesetengah jenis manusia yang memang tidak boleh melihat orang lain hidup senang. Jikalau mereka nampak orang lain lebih sikit daripadanya, mulalah hati mendongkol geram dan tidak berpuas hati. Dalam benaknya, penuh dengan firasat jahat. Sentiasa mencongak strategi dan mencari jalan bagaimana untuk menjatuhkan orang yang lebih daripadanya.

Hakikatnya, perasaan dengki adalah salah satu perangai atau sifat buruk yang telah menghinggapi manusia sejak dari dahulu lagi. Ia bukan sahaja terjadi dalam dunia politik, perniagaan, pekerjaan dan persahabatan, malahan turut berlaku dalam suasana kekeluargaan. Berhati-hatilah andai dalam hati kita bersemayam segala jenis rasa yang menjelikkan itu. Ketahuilah bahawa hasad dengki merupakan sifat yang paling tercela di sisi agama. Ia boleh menjerumuskan pelakunya kepada perbuatan tidak berperikemanusiaan. Tidak ada gunanya kita berbuat amal kebaikan tetapi jauh di sudut hati kita mempunyai sifat iri hati yang tidak berkesudahan.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar dijauhkan daripada sikap ini dan dikurniakan iman yang kuat untuk menangkis segala hasutan syaitan laknatullah yang cuba menyesatkan anak Adam. Semoga amal kita diterima disisi Allah SWT tanpa sebarang yang sia-sia.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

“Jauhilah hasad (dengki) kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar.” (HR Abu Daud).

Sumber: Sinar Plus (26 Jun 2020)