Home Kemanusiaan/Motivasi BERUSAHALAH UNTUK MENJADI MUSLIM YANG BAIK DENGAN SENTIASA MEMPERBAIKI DIRI DAN MENINGGALKAN...

BERUSAHALAH UNTUK MENJADI MUSLIM YANG BAIK DENGAN SENTIASA MEMPERBAIKI DIRI DAN MENINGGALKAN PERKARA YANG TIDAK BERMANFAAT

1479
0

Menjadi seorang Muslim yang baik adalah impian setiap umat Islam di dunia ini. Namun, tidak semua mampu melaluinya dek kerana kalah dengan ujian yang diturunkan oleh Allah SWT kepada setiap hambaNya. Sebenarnya, bukan mudah untuk kita menjadi Muslim yang baik kerana syurga itu bukan percuma ‘harganya’. Untuk mendapatkan syurga, ada ujian yang harus kita tempuhi. Hanya yang bertekad dan berazam sahaja mampu melaluinya. Rasulullah SAW bersabda:

“Di antara kebaikan Islam seorang adalah meninggalkan suatu yang tidak berfaedah baginya. Dalam riwayat yang lain Nabi bersabda maksudnya; “Di antara kebaikan Islam seorang adalah sedikit percakapan yang tidak berfaedah baginya.” (HR At – Tirmizi dan Ibnu Majah).

Ada di antara kita berfikir, apabila usia meningkat barulah akan menjadi baik. Sebenarnya pemikiran itu salah sama sekali. Bagaimana ajal yang datang dahulu sebelum kita sempat untuk menjadi Muslim yang baik? Sebenarnya, tidak susah untuk menjadi Muslim yang baik. Namun, kadang kala dek kesilapan cara menyebabkan kita merasakan bahawa ia merupakan sesuatu yang begitu sukar.

Perubahan diri menjadi seorang Muslim yang baik bukanlah satu perubahan yang drastik. Ia memerlukan kepada proses yang memerlukan masa. Mulakan dari bawah. Baiki semula pengamalan agama kita. Mana-mana yang lompong, kita tutup. Mana yang kurang, kita tambah. Kemudian, barulah ia akan terpancar dalam bentuk adab dan akhlak. Setelah adab dan akhlak yang baik berjaya dipupuk, jadilah kita seorang Muslim yang baik. Firman Allah SWT:

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan dan berkata, “Sungguh, aku termasuk orang-orang Muslim (yang berserah diri)?” (QS Al – Fussilat: 33).

Seorang Mukmin sejati akan selalu mengajak kepada kebaikan, beribadah, dan berbuat perkara yang positif bagi diri sendiri dan mereka yang berada di sekelilingnya dan meninggalkan segala perkara-perkara yang lagha (melalaikan). Allah SWT memuji hamba-hambaNya yang pengasih dan penyayang iaitu mereka yang memiliki berbagai ciri keperibadian Islam di antaranya ia tidak terlibat perkara sia-sia dan tidak bermanfaat.

Kesimpulannya, bahawa untuk mendapatkan keperibadian seorang Muslim ia mempunyai perkataan yang konsisten kerana seorang Muslim itu seharusnya bersikap dengan sungguh-sungguh, tidak mudah dibawa arus. Marilah kita semua bertekad untuk menjadi seorang Muslim yang baik dan sentiasa disayangi Allah SWT dan RasulNya.

Sumber: Kolum Hidayah, Berita Harian Singapura (4 Julai 2021)