Home Ajaran Sesat MEMUJA MAKAM ‘WALI-WALI’ UNTUK MENGAMBIL BAROKAH DAN MELAKUKAN AMALAN YANG KHURAFAT SERTA...

MEMUJA MAKAM ‘WALI-WALI’ UNTUK MENGAMBIL BAROKAH DAN MELAKUKAN AMALAN YANG KHURAFAT SERTA SYIRIK ADALAH JELAS SESAT DAN TERPESONG DARIPADA AJARAN ISLAM….HINDARILAH!!!

1002
0

MEMUJA MAKAM ‘WALI-WALI’ UNTUK MENGAMBIL BAROKAH DAN MELAKUKAN AMALAN YANG KHURAFAT SERTA SYIRIK ADALAH JELAS SESAT DAN TERPESONG DARIPADA AJARAN ISLAM

HINDARILAH!!!

Baru-baru ini tular video beberapa orang pemuda mendaki Gunung Jerai di Kedah dan melakukan amalan khurafat yang bertentangan dengan amalan syariat dan akidah Islam berdasarkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Para pemuda tersebut dilihat melakukan beberapa ritual seusai mendaki Gunung Jerai tersebut.

Antara ritual-ritual yang dilakukan adalah melakukan upacara mandi dan mengambil wudhu’ di air telaga ‘Tok Syeikh’ yang dianggap wali’ sebelum naik ke puncak di Padang Tok Syeikh di gunung tersebut. Di Padang Tok Syeikh tersebut terdapat batu bersusun seperti saf solat seperti mana yang didakwa pemuda tersebut sebagai batu yang menunjukkan roh wali dan pengikut-pengikutnya sedang solat kerana batu-batu tersebut mengadap ke arah kiblat. Mereka kemudiannya turut menunaikan solat di batu tersebut. Seterusnya mereka meneruskan perjalanan ke Makam purba di puncak Gunung Jerai tersebut yang didakwa sebagai makam Syeikh Abdullah Qhumairi, seorang wali Allah. Makam tersebut terletak di dalam sebuah gua yang tersembunyi dan dikatakan sebagai tempat syeikh tersebut bersama 11 orang lagi sahabatnya bersuluk. Mereka juga mengamalkan ritual ibadah tertentu yang memuja kubur ‘wali’ tersebut untuk memohon berkat.

Kepercayaan dan amalan mereka ini adalah amalan khurafat dan syirik kerana menganggap Gunung Jerai tersebut seolah-olah seperti tempat yang suci dan memohon berkat dari kubur yang dikatakan kubur wali Allah itu. Bahkan mereka juga kononnya mempercayai bahawa Gunung Jerai tersebut adalah tempat suci di mana ia menjadi tempat bahtera Nabi Nuh a.s. mendarat, tempat Saidina Uthman dan Saidina Ali r.a berehat dan tempat turunnya Nabi Adam a.s .

Perkara ini secara jelasnya telah melanggar hukum dan syariat ajaran agama Islam yang sebenar kerana percaya pada perkara-perkara khurafat dan melakukan amalan yang secara jelas telah menyekutukan Allah SWT.

Sementara itu, pihak Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kedah tidak berdiam diri dengan situasi ini dan telah pun mengambil beberapa tindakan yang sewajarnya untuk mengelakkan ajaran sesat ini terus berkembang. Apatah lagi apabila kumpulan pemuda tersebut telah mengeluarkan kenyataan di media sosial tentang keistimewaan Gunung Jerai sebagai tempat suci wali-wali beribadah dan beberapa doktrin palsu lagi yang dikaitkan dengan nabi-nabi serta sahabat Rasulullah SAW, yang disebarkan sehingga boleh mengelirukan dan menyesatkan orang awam.

Perbuatan tersebut selain jelas sesat, juga boleh membawa imej yang tidak baik pada agama Islam dan akan dipandang serong oleh orang lain yang bukan Islam. Justeru itu, mengapa kita perlu memberikan perhatian kepada perkara-perkara yang menyesatkan dan diragui kebenarannya sedangkan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah secara nyatanya sudah lengkap dan memberi panduan yang benar.

Sumber: Utusan Malaysia – 31 MEI 2022