Sejarah membuktikan perkembangan kemajuan dan perubahan norma tertentu yang berlaku di dunia Barat mempengaruhi dunia Islam. Barat dianggap sebagai simbol gaya hidup zaman moden, juga pejuang hak dan kebebasan manusia. Apabila berhadapan dengan dua fenomena di atas, sikap umat Islam terbahagi kepada dua iaitu mereka yang berpendapat agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kemajuan dan kekuatan serta satu lagi adalah mereka yang membela Islam dan berpandangan ideologi liberalisme ini perlu diperangi habis-habisan.
Bagi golongan yang membela liberalisme, untuk maju, golongan liberal menyatakan Islam perlu dipisahkan daripada kehidupan seharian. Mereka terima segalanya dari Barat dan secara terang menolak agama.
Sedangkan kelompok yang membela Islam merasakan kelompok liberal perlu diperangi kerana mereka mahu kebebasan berijtihad dan menolak autoriti agama (ulama) yang boleh merosakan akidah dan kemurnian agama Islam. Jika ini berlaku, kepercayaan terhadap tradisi keilmuan Islam akan hilang. Ia mencetuskan kekeliruan dan kejahilan terhadap Islam yang akhirnya menyebabkan hilangnya kepercayaan kepada tokoh-tokoh Islam.
Liberal juga mencabar kewibawaan sumber hukum yang disepakati, iaitu al-Quran, Sunah, Ijma dan Qiyas. Lebih dahsyat, liberal percaya bahawa al-Quran perlu ditafsir semula agar bersesuaian dengan zaman serba moden ini, termasuk mentafsir semula hukum. Ancaman lain liberal ialah menggunakan asas dan fahaman menyeleweng, pincang dan tidak sesuai dalam menetapkan hukum Islam. Aliran liberal ini meletakkan beberapa asas dan sandaran pemikiran tertentu yang mempengaruhi sepenuhnya metodologi mereka menentukan hukum Islam.
Namun, apa yang dapat diperhatikan ketika ini, nampaknya tampuk pembuat dasar yang berijtihad menentukan hukum dan pemerintahan yang mempunyai autoriti khas tidak selari dan sependapat dalam sesuatu isu dalam menentukan hukum-hukum yang berkaitan dengan agama Islam. Apakah mereka juga sudah dipengaruhi oleh fahaman liberalisme yang ingin memberi kebebasan kepada individu dalam memilih jalan beragama yang sesuai dengan kumpulan tertentu? Contohnya dalam kes penentuan pengesahan untuk mengharamkan beberapa tarikat di Malaysia baru-baru ini, sebelah pihak memberi kebenaran pengamalan di Malaysia, sebelah pihak mempertikaikannya. Begitu juga dengan penyertaan umat Islam dalam merayakan pesta-pesta keagamaan bagi agama lain seperti perayaan agama Hindu, Budha, Sikh, pesta keamatan dan lain-lain termasuk yamg terbaharu mengenai pesta Bon Odori yang heboh diperkatakan baru-baru ini. Walaupun pihak berkuasa agama memberi garis panduan tentang halal haram menyertai pesta-pesta agama lain, namun ramai yang mempertikaikan termasuk juga beberapa pemimpin Islam negara yang menjadi ikutan rakyat di negara ini. Perkara ini telah mendatangkan kekeliruan khususnya kepada orang awam. Dari satu sudut lain juga kita dapat perhatikan bahawa pemikiran liberal ini yang menjadikan ‘kebebasan’ sebagai pegangan sedikit demi sedikit telah mula menguasai pemikiran keseluruhan tampuk pimpinan dan rakyat Malaysia. Ini menunjukkan fahaman liberal ini semakin mendapat tempat di kalangan rakyat beragama Islam di negara ini termasuklah pemimpin-pemimpin Islam sendiri. Jadi, siapakah yang akan mempertahankan Islam?
Sumber: Ketua Penyelidik di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), badan pemikir bebas sosio media-politik