Home Kemanusiaan/Motivasi WUKUF DI ARAFAH: KEMUNCAK IBADAH HAJI DAN DETIK PENGAMPUNAN ILAHI

WUKUF DI ARAFAH: KEMUNCAK IBADAH HAJI DAN DETIK PENGAMPUNAN ILAHI

6
0

Hari ini merupakan hari yang amat penting dan puncak segala rukun ibadah haji di mana para jemaah haji melaksanakan ibadah wukuf di Arafah. Wukuf di Arafah merupakan antara rukun utama dalam ibadah haji yang tidak boleh ditinggalkan. Dari sudut bahasa, wukuf bermaksud berhenti atau berada di sesuatu tempat. Dalam konteks ibadah haji, wukuf di Arafah bermaksud para jemaah haji berada di Padang Arafah pada waktu yang telah ditetapkan untuk beribadah kepada Allah SWT dengan penuh tawaduk, doa dan zikir. Ia adalah kemuncak ibadah haji yang menggambarkan penyatuan umat Islam tanpa mengira bangsa dan darjat di hadapan Allah SWT.

Wukuf dilaksanakan pada 9 Zulhijjah, iaitu hari sebelum Hari Raya Aidiladha. Pada hari tersebut, jemaah haji akan berkumpul di Arafah bermula selepas gelincir matahari (zuhur) sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda:

“Haji itu adalah Arafah.” (HR Abu Daud).

Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya wukuf sehingga ia menjadi penentu sah atau tidaknya ibadah haji seseorang. Pelaksanaan wukuf dilakukan dengan jemaah berada di Arafah walaupun hanya seketika dalam waktu yang ditetapkan, sama ada berdiri, duduk atau berbaring sambil memperbanyakkan doa, istighfar, zikir dan bacaan al-Quran. Tiada amalan khusus yang ditetapkan selain menghadirkan diri di Arafah dengan penuh pengharapan kepada rahmat dan keampunan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 198:

“Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurniaan (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu. Maka apabila kamu bertolak dari Arafah, berzikirlah kepada Allah di Masy’aril Haram…”

Menjelang hari wukuf, para jemaah haji perlu memberi perhatian serius terhadap penjagaan kesihatan kerana keadaan cuaca di Arafah yang sangat panas dan kering. Mereka disarankan untuk memperbanyakkan minum air, memakai pakaian yang sesuai, menggunakan payung atau pelindung panas, serta mengelakkan keletihan melampau. Kesihatan yang baik amat penting agar ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna dan khusyuk tanpa gangguan fizikal yang berat.

Sesungguhnya wukuf di Arafah adalah saat yang penuh dengan keampunan dan rahmat Allah SWT. Pada hari tersebut juga, Allah SWT membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka. Oleh itu, para jemaah digalakkan untuk memperbanyakkan doa khususnya memohon keampunan, kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat serta husnul khatimah. Wukuf bukan sekadar perhimpunan fizikal, tetapi ia adalah detik spiritual yang menghubungkan hati hamba dengan Pencipta dalam suasana pengharapan yang paling tinggi.

Sumber: Portal eCentral.my