Sesungguhnya manusia itu lahir ke dunia ini dengan adanya sifat mawaddah dan rahmah, iaitu cinta dan kasih sayang. Perasaan kasih dan sayang ini merupakan fitrah yang diciptakan dalam diri setiap manusia iaitu manifestasi daripada sifat Allah SWT, al-Rahman, iaitu Yang Maha Pengasih. Sesungguhnya atas sifat itulah manusia hidup di dunia ini dengan pelbagai nikmat yang telah dikurniakanNya tanpa mengenal bangsa dan keturunan.
Firman Allah SWT:
“Jika Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Melainkan mereka yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah (kasih sayang) mereka diciptakan.” (QS al –Hud: 118)
Kasih sayang membentuk kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang lain. Dek kerana hal itu, Islam sentiasa menggalakkan umatnya agar sentiasa menyuburkan perasan kasih dan sayang terhadap semua makhluk Allah SWT dan bukan sahaja terhadap sesama manusia.
Allah SWT menciptakan manusia supaya dapat berkasih sayang antara satu sama lain. Namun, jika persengketaan menjadi pilihan, maka Allah SWT akan menghukum mereka dengan kehinaan. Islam itu agama yang berkasih sayang, maka wajarlah kita sebagai umatnya menjadi seorang sentiasa menyuburkan kasih sayang terhadap semua makhluk kerana Allah memberi jaminan orang-orang yang berkasih sayang akan mendapat ganjaran yang baik di akhirat kelak dan memberi balasan yang sama tarafnya dengan para nabi dan para syuhada’ terhadap orang-orang yang berkasih sayang kerana Allah.
Daripada Muaz RA katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Firman Allah Taala (dalam Hadith Qudsi) orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganku akan mendapat minbar-minbar daripada cahaya yang diinginkan oleh para nabi dan syuhada’” (HR at-Tirmizi)
Sumber: Sinar Harian “Curahkan kasih sayang kepada semua makhluk” (24 Januari 2020) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)