Home Kemanusiaan/Motivasi IBADAH KORBAN IBADAH YANG DICINTAI ALLAH SWT PELIHARALAH UKHUWAH DALAM MELAKSANAKAN IBADAH...

IBADAH KORBAN IBADAH YANG DICINTAI ALLAH SWT PELIHARALAH UKHUWAH DALAM MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN DAN JANGAN SESEKALI BERTELAGAH

495
0

Dalam sedikit masa sahaja lagi, umat Islam di seluruh dunia bakal meraikan sambutan Aidil Adha. Selepas itu kita akan melakukan ibadah korban seperti mana yang dituntut dalam agama Islam. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al – Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban).” (HR At – Tirmizi).

Namun begitu, dalam melakukan ibadah korban perlulah juga kita menjaga semangat perpaduan dan mengamalkan toleransi sesama kita sebagai Muslim. Cuba kita lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, asal sahaja ibadah korban hendak dilaksanakan pasti akan ada sahaja pertelagahan yang berlaku. Situasi ini sama sekali tidak patut berlaku. Ini kerana selain tujuan untuk beribadah, motif ibadah korban juga adalah untuk memelihara hubungan silaturahim sesama umat Islam.

Akan tetapi, senarionya berubah apabila ada di kalangan umat Islam yang menggunakan ibadah korban ini untuk menunjukkan sikap jagoan mereka dan memonopoli tempat atau ibadah tersebut. Ini mengundang rasa kurang senang dalam kalangan jemaah atau kalangan masyarakat. Apabila ditegur, mulalah rasa tidak puas hati dan ingin tunjuk kuat. Perkara ini tidak seharusnya berlaku, ibadah korban dilaksanakan bukan bertujuan untuk membantu golongan susah semata-mata, tetapi juga untuk menguatkan lagi kesatuan umat Islam. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan Ulil Amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeda pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (QS An – Nisa: 59).

Oleh itu, apa yang seharusnya kita lakukan adalah kembali kepada jalan pangkal kita sebagai umat Islam iaitu merujuk kepada al – Quran dan As – Sunnah. Lantiklah ketua dari kalangan yang kita yang benar-benar amanah, tegas dan bertanggungjawab agar ibadah korban dapat dilaksanakan dengan jaya tanpa adanya perkelahian.

Ikatan persaudaraan sesama Muslim umpama sebuah bangunan yang saling menyokong antara satu sama lain bagi memastikan kekuatan sesebuah bangunan itu terus terpelihara. Begitu juga diibaratkan silaturahim sesama Muslim yang harus dipelihara supaya dapat menguatkan perpaduan umat Islam. Oleh itu, jaga dan perkukuhkanlah ukhuwah sesama umat Islam dalam melakukan ibadah korban dan jangan sesekali bertelagah. Berkata Imam Auzai’:

“Tiada langkah yang lebih baik dan disukai Allah SWT selain daripada usaha menyatukan antara dua pihak. Mereka akan ditulis sebagai calon yang terselamat daripada api neraka.”

Sumber: Berita Harian (9 Jun 2015)