Home Kemanusiaan/Motivasi PELUANG KEEMASAN RAMADAN – HIDUPKAN MALAM RAMADAN DENGAN IBADAH UNTUK MENDAPATKAN GANJARAN...

PELUANG KEEMASAN RAMADAN – HIDUPKAN MALAM RAMADAN DENGAN IBADAH UNTUK MENDAPATKAN GANJARAN PAHALA YANG BERGANDA DAN KEAMPUNAN DOSA OLEH ALLAH SWT

867
0

Bulan Ramadan 1443 Hijrah tahun ini dirasakan amat bermakna buat semua umat Islam di seluruh negara. Manakan tidak, tahun ini umat Islam dapat merayakan Ramadan dengan bersolat tarawih tanpa penjarakan fizikal kerana Malaysia sudah pun memasuki fasa pandemik kepada endemik. Jadi, sudah pasti peluang sebegitu tidak akan dilepaskan oleh seluruh umat Islam kerana aktiviti beribadah sudah berjalan seperti normal. Dengan ketetapan tersebut, maka amat molek sekiranya kita mengambil peluang ini dengan bersungguh-sungguh untuk menghidupkan malam di bulan ramadan ini dengan amal ibadah seperti solat sunat, solat tarawih, tilawah, iktikaf, zikir dan amal ibadah yang lainnya. Ia sangat dianjurkan oleh Rasulullah SAW kerana sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan beribadah kepada Allah SWT penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa mendirikan Ramadan (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain) dengan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat Allah maka diampuni segala dosa-dosanya yang lalu.” (Muttafaq ‘alaih).

Peluang mendapatkan keampunan Allah SWT terbuka luas pada waktu siang dan juga malam Ramadan. Justeru, tanya pada diri sendiri usaha dibuat sepanjang hari Ramadan yang berlalu. Adakah usaha itu cukup melayakkan diri mendapat keampunan Allah SWT? Orang yang membiarkan Ramadan pergi tanpa memanfaatkannya dengan amal ibadah, maka dia termasuk dalam kalangan orang rugi. Tiada siapa boleh memberi jaminan dia pasti menemui Ramadan tahun depan. Keampunan Allah SWT terbuka seluas-luasnya. Sesiapa yang melakukan kebaikan maka sesungguhnya kebaikan itu untuk dirinya, begitu juga sebaliknya. Firman Allah SWT:

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya terpulang kepada dirinya dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahaya menimpa dirinya dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada para hamba-Nya.” (QS Al – Fussilat: 46).

Oleh itu, teruskanlah menggandakan amalan dalam bulan Ramadan pada waktu siangnya dengan berpuasa dan pada waktu malam dengan ibadah.

Sumber: Harian Metro (19 Mei 2020)