Home Kemanusiaan/Motivasi JAGALAH MARUAH DIRI SEBAGAI SEORANG MUSLIM KERANA IA ADALAH BENTENG KEIMANAN YANG...

JAGALAH MARUAH DIRI SEBAGAI SEORANG MUSLIM KERANA IA ADALAH BENTENG KEIMANAN YANG DAPAT MENCEGAH DARIPADA KEMAKSIATAN

656
0

Maruah merujuk kepada nilai kebaikan atau kemuliaan diri atau kehormatan diri (izzatunnafsi) yang ada pada seseorang. Tanpa maruah, seseorang atau sesuatu bangsa dianggap tidak ada harga diri, tidak ada kemuliaan dan tidak dihormati lagi.

Setiap Muslim perlu menjaga kehormatan diri iaitu melalui pergaulan, percakapan dan cara berpakaian. Dalam menjaga diri melalui cara berpakaian, seseorang itu perlulah berpakaian dengan memakai pakaian yang ditetapkan oleh syariat Islam. Allah SWT berfirman:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…” (QS An-Nur: 31).

Akhir-akhir ini, banyak sekali insiden atau kejadian yang menjatuhkan maruah seseorang yang banyak berlaku dan bertebaran di media sosial. Tanpa mengira lelaki ataupun wanita, kebanyakan dari orang Islam kini sudah hilang malu dalam melakukan sesuatu perkara yang dianggap dangkal. Sebagai contoh, penghinaan ke atas agama Islam oleh seorang pelawak wanita yang beragama Islam dengan menanggalkan pakaiannya di khalayak ramai. Tidak cukup dengan itu, pergaulan bebas yang melampau batas syariat antara lelaki dan wanita Muslim dengan adegan yang berpelukan serta bergambar di khalayak ramai bertebaran di segenap platform media sosial. Mereka sangat berbangga dengan perilaku mereka dan tidak ada sedikit pun perasaan malu kepada Allah SWT.

Anak muda zaman ini lebih cenderung kepada pergaulan bebas dan mementingkan kehidupan bersosial dengan jantina yang berlainan tanpa mengira batas ikhtilat yang dibenarkan dalam Islam. Secara tidak langsung, ia bukan sahaja mencemarkan maruah individu yang melakukannya bahkan mencemarkan maruah agama, keluarga, pendidik dan juga para sahabat seagama. Mereka hanya menganggap maruah dan tingkah laku yang buruk itu bukan lagi menjadi kepentingan bahkan hanya menjadi sekadar perhiasan atas nama sahaja. Maruah dan tingkah laku yang semakin dianggap enteng oleh generasi muda menyebabkan mereka tidak menghiraukan batas-batas syariat atau halal haram sebagai seorang Muslim. Perkara ini bukan perkara remeh kerana ia melibatkan perlanggaran syariat yang perlu diperbetulkan segera sebelum parah, agar mereka mematuhi hukum dan syariat Islam. Hal ini adalah bagi menjamin kesejahteraan anak muda pada masa hadapan dan untuk memelihara kesucian agama Islam itu sendiri.

Justeru, umat Islam khususnya para belia perlu tahu apa itu maruah bagi diri seorang Islam supaya mereka dapat menjaga maruah diri dan agama kita, serta sama-sama menghormati, mempertahan dan memperjuangkannya. Ini kerana maruah adalah nilai diri kita dan hidup kita. Insan yang baik sentiasa menjaga akhlak atau keperibadian dirinya dan orang lain.

Jagalah maruah sebagai seorang Muslim kerana maruah adalah benteng keimanan yang dapat memelihara diri daripada terjebak ke lembah kemaksiatan. Jadilah insan yang menjaga maruah diri dan tingkah laku dengan sebaiknya. Bertindaklah seperti insan yang melambangkan keindahan menjadi umat Islam sejati. Menjadi sebuah permata yang bersinar itu bukan sekadar untuk hari ini, bahkan untuk selamanya. Bagaikan kata pepatah, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (HR Bukhari).

Sumber: Harian Metro (13 Julai 2022).