Home Kemanusiaan/Motivasi AMALKAN SIKAP BERSEDERHANA DALAM MEMBELANJAKAN HARTA DAN HINDARILAH SIKAP YANG TERLALU BERMEGAH-MEGAH...

AMALKAN SIKAP BERSEDERHANA DALAM MEMBELANJAKAN HARTA DAN HINDARILAH SIKAP YANG TERLALU BERMEGAH-MEGAH DENGAN KEMEWAHAN

513
0

Amalan bersederhana amat dianjurkan kepada umat Islam. Sikap bersederhana sangat dituntut dalam agama kerana ia diamalkan oleh Rasulullah SAW. Antara nikmat yang boleh melalaikan itu ialah nikmat harta. Apabila berharta, janganlah terlalu bermegah-megah dengan kemewahan yang ada. Tidak salah untuk memiliki sedikit lebih harta, tetapi apa yang menjadi salah adalah sikap suka bermegah dan menunjuk-nunjuk dengan harta yang ada.

Oleh itu, agama kita telah mengajar cara berbelanja dan menguruskan harta dengan cara yang betul sebagaimana yang telah diajarkan dalam al-Qur’an dan sunah Rasulullah SAW iaitu hendaklah berbelanja dengan cara yang sederhana, tidak berlebih-lebihan atau membazir. Firman Allah SWT:

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-duanya.” (QS al – Furqan: 67).

Sebagai umat Islam kita sepatutnya mengamalkan sikap berjimat cermat serta bersederhana dalam apa-apa juga yang kita belanjakan, apatah lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang ini. Ini kerana dengan amalan tersebut dapat mendisiplinkan diri kita menuju ke arah sifat ‘qana’ah’ iaitu menerima dengan rela apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri mengamalkan sifat ‘qana’ah’ dan bersifat sederhana. Dengan kedudukan Baginda sebagai Rasul, Baginda boleh sahaja meminta daripada Allah SWT untuk hidup mewah. Akan tetapi Baginda lebih memilih untuk hidup bersederhana, walaupun bukit dan gunung-ganang yang ada disekitarnya pernah ditawarkan agar dijadikan emas dan perak, akan tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan tetap memilih cara hidup yang sederhana. Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik perkara ialah yang sederhana” (HR Imam Ahmad).

Sesungguhnya bersederhana itu akan memberi kesan positif kepada diri seperti lahirnya sifat tenang dan sabar dalam jiwa, menjadi manusia berdisiplin dan bertanggungjawab. Orang yang bersederhana akan memperoleh kejayaan sama ada di dunia serta akhirat. ‘Wasatiyyah’ atau sikap bersederhana merupakan salah satu daripada ajaran yang diterapkan oleh Islam kepada umat Islam seluruhnya yang merangkumi segenap aspek kehidupan kita. Tidak terlalu melampau dan tidak pula terlalu mengambil mudah akan sesuatu perkara atau urusan. Oleh itu Islam merupakan satu agama yang sederhana dan memerintahkan agar umat Islam pun turut bersederhana dalam kehidupan seharian mereka.

Justeru, amalkanlah sikap bersederhana dalam kehidupan agar dapat mengelakkan diri daripada bersikap boros dan membazir. Dalam berbelanja kita hendaklah mengutamakan keperluan bukannya mengutamakan kemahuan. Sikap berbelanja mengikut hawa nafsu mesti dihindari dan dibendung sebelum ia menjadi tabiat. Ketahuilah, sikap boros berbelanja boleh mengundang masalah seperti menanggung hutang dan sebagainya.

Sumber: FB page Syamsul Amri Ismail Official