Home Kemanusiaan/Motivasi HIKMAH LARANGAN MEMOTONG KUKU DAN RAMBUT BAGI PESERTA IBADAH KORBAN

HIKMAH LARANGAN MEMOTONG KUKU DAN RAMBUT BAGI PESERTA IBADAH KORBAN

5
0

Dalam Islam, menjaga kebersihan dan kesucian diri merupakan tuntutan penting dalam setiap ibadah yang dilakukan. Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Lima perkara daripada fitrah ialah berkhitan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.” (HR Bukhari).

Kebersihan bukan sahaja melibatkan pakaian dan tempat ibadah, malah turut merangkumi penjagaan anggota badan seperti rambut dan kuku. Namun, apabila tibanya musim ibadah korban pada bulan Zulhijjah, terdapat satu amalan khusus yang perlu diberi perhatian oleh para peserta korban iaitu larangan memotong rambut dan kuku sebelum selesai melaksanakan ibadah korban.

Ramai dalam kalangan umat Islam masih keliru tentang hukum ini, khususnya apabila ada peserta yang melaksanakan korban pada hari pertama Aidiladha dan ada juga yang melakukannya pada hari kedua atau ketiga tasyrik. Bagi mereka yang berniat untuk melakukan ibadah korban, tarikh terakhir untuk memotong rambut dan kuku ialah sebelum masuknya waktu Maghrib pada 29 Zulkaedah. Ini bermaksud, sebaik sahaja masuk 1 Zulhijjah, peserta korban disunatkan untuk tidak lagi memotong rambut dan kuku sehingga haiwan korban selesai disembelih pada 10 Zulhijjah atau hari-hari tasyrik berikutnya.

Larangan ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (HR Muslim).

Hadis ini menjadi panduan penting kepada umat Islam dalam menjaga adab dan kesempurnaan ibadah korban. Walaupun hukum tidak memotong rambut dan kuku ini adalah sunat dan bukannya wajib, ia tetap merupakan amalan yang sangat digalakkan bagi memperoleh ganjaran dan kesempurnaan ibadah.

Menurut Imam al-Nawawi, antara hikmah larangan memotong kuku dan rambut ialah supaya seluruh anggota badan seseorang itu akan dibebaskan daripada api neraka. Selain itu, para ulama turut menjelaskan bahawa amalan ini menyerupai sebahagian keadaan orang yang sedang berihram ketika menunaikan haji dan umrah. Ia menjadi simbol penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT serta tanda ketaatan seorang hamba dalam mematuhi setiap perintahNya walaupun kelihatan kecil dan sederhana.

Namun begitu, bagi mereka yang terlupa lalu memotong kuku atau rambut dalam tempoh tersebut, Islam tidak meletakkan hukuman atau dosa yang berat ke atas mereka. Ibadah korban tetap sah dan boleh diteruskan, cuma mereka terlepas daripada kelebihan dan kesempurnaan amalan tersebut.

Oleh itu, memahami hikmah di sebalik setiap syariat akan menjadikan kita lebih mudah untuk menghayati serta mengamalkannya dengan penuh keikhlasan. Marilah kita bersama-sama memperbaiki amalan dan meningkatkan ilmu agama agar dapat menjadi hamba Allah SWT yang lebih taat, bertakwa dan sentiasa mengharapkan keberkatan dalam setiap ibadah yang dilakukan.

Sumber: Blog ez Qurban