Berikutan inflasi harga barang dan kos sara hidup secara mendadak, Parti Pejuang Tanah Air telah menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyertai satu demonstrasi pada keesokan hari, 23 JULAI 2022, 2:00 petang, bertempat di SOGO. Demostrasi jalanan ini dianjurkan bertujuan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan kerana gagal untuk menangani isu ini sebaiknya.
Namun, adakah rakyat boleh menyahut seruan untuk menentang kerajaan itu dan apakah hukum menyertai demonstrasi jalanan tersebut? Bukankah Parti Pejuang Tanah Air yang merupakan parti pembangkang dianggap sebagai telah membuat hasutan kepada rakyat untuk menentang kerajaan?
Ulamak kontemporari telah berijtihad dan Majlis Fatwa telah menetapkan bahawa sebarang perhimpunan atau demonstrasi berunsurkan hasutan adalah haram. Syeikh Abdul Aziz, mantan Mufti Besar Arab Saudi telah menasihatkan kepada para ulama dan para pendakwah serta pendokong kebenaran supaya menghindari sebarang bentuk demonstrasi dan protes di jalan-jalan raya. Perbuatan ini disifatkan sebagai tidak memberi manfaat. Bahkan ianya lebih memberi kemudaratan seperti berlakunya perpecahan kepada orang Islam sendiri dan mengancam keselamatan negara.
Memperbaiki kerosakan tidak semestinya dengan melakukan demonstrasi. Perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah dan memecahbelahkan masyarakat. Oleh sebab itu ia diharamkan kerana Islam tidak mengajar untuk mencari kemaslahatan dalam masa yang sama menimbulkan kerosakan. Boleh jadi di dalamnya akan berlaku pencerobohan. Maka berdemonstrasi merupakan perkara yang dilarang sama ada dibenarkan oleh pemerintah atau tidak.
Justeru itu, seruan pembangkang untuk menyertai demonstrasi jalanan tersebut seharusnya ditolak. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu taat kepada pemerintah sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Seorang muslim perlu mendengarkan dan mematuhi perintah, yang disukainya dan tidak disukainya, selama tidak disuruh mengerjakan maksiat (kejahatan). Tetapi apabila dia disuruh mengerjakan maksiat, tidak boleh didengar dan ditatati.” (HR. Bukhari).
Prinsip ketaatan ini adalah demi menjaga kelangsungan sistem sosial dan demi mengelakkan berlakunya rusuhan yang akhirnya akan mengancam keselamatan negara. Seharusnya rakyat Malaysia atau ahli-ahli politik lebih bersolidariti dan bersuara terhadap isu penghinaan Islam kerana agama yang dipertaruhkan, namun sangat menyedihkan apabila berkaitan dengan kepentingan diri dan parti, perkara lain yang difokuskan sehingga menghasut masyarakat untuk berdemonstrasi secara haram.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Facebook Sr. Nurul Ashikin – Ketua Pejuanita Muda Malaysia