Umum mengetahui mutakhir ini ramai di kalangan rakyat Malaysia pada hari ini terlibat dengan aktiviti jual beli cedok yang viral di media sosial terutamanya di aplikasi TikTok. Apa sebenarnya jual beli cedok ini? Ianya suatu aktiviti perniagaan yang dijalankan mengikut untung nasib seseorang pembeli. Pembeli akan tentukan misalnya untuk membeli satu ceduk, jadi penjual akan mencedok secara ‘live’ satu ceduk dan barangan yang akan pembeli terima nanti adalah ‘random’ mengikut apa yang telah dicedok oleh penjual berkenaan.
Pembeli tidak boleh memilih barang apa yang dikehendaki dan penjual akan menceduk pelbagai jenis barangan yang diletakkan dalam bekas yang lebih besar menggunakan senduk, bakul atau mangkuk. Pembeli hanya menetapkan nilai atau harga belian dan penjual akan menceduk sekali atau beberapa kali. Barang yang diceduk itu secara automatik menjadi milik pembeli. Barang-barang yang dijual adalah daripada gula-gula, aksesori, pencuci muka dan barang kosmetik termasuk juga emas, kini dijual secara ceduk dengan harga serendah RM5 sehingga mencecah RM1000 untuk sekali ceduk. Berdasarkan pemerhatian, terdapat penjual yang meletakkan semua barang yang dijual dalam satu bekas selain ada yang mencampurkan barang yang tidak sepatutnya bagi memenuhkan ‘isi’ ceduk berkenaan.
Persoalannya, adakah perniagaan sebegini dibenarkan oleh syarak? Mengikut pandangan pakar syariat dan muamalat dan pakar agama, menjual dengan cara tersebut adalah sama seperti jual beli ‘gharar’ (jual beli yang ketidakjelasan yang boleh melibatkan penipuan) yang diharamkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW:
Rasulullah SAW telah melarang sama sekali jual beli al-mulamasah dan al-munabadhah (Sahih Bukhari & Muslim).
‘Gharar’ dalam istilah perundangan Islam dikaitkan dengan kontrak jual beli yang diharamkan kerana mengandungi unsur-unsur keraguan yang mungkin akan menyebabkan perselisihan antara pembeli dan penjual. Dalam erti kata lain, didefinisikan sebagai bahaya, pertaruhan, menipu atau memperdaya, tidak mengetahui serta meliputi semua perkara penipuan dan seumpamanya untuk mencapai satu tujuan iaitu mendapatkan sesuatu perkara atau harta dengan cara yang salah dan tidak sepatutnya. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sungguh, Allah Maha Penyayang kepadamu.” (QS An – Nisa’: 29).
Menurut Imam Nawawi, ‘al-mulamasah’ adalah bentuk jual beli barangan seperti baju yang mana disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dikira jual (dipegang saja tanpa melihat dan terus dibeli). ‘Mulamasah’ juga jual beli yang berlaku ke atas mana-mana barangan, tanpa melihat secara terperinci, maka dikira jual di mana pembeli tidak boleh membuat pilihan. Ia boleh dikatakan sebagai satu jual beli jahiliah di mana tidak ada sistem keadilan dan tiada akad yang jelas. Sementara jual beli ‘munabadhah’ ialah jual beli dengan melempar barangnya kepada pembeli (tanpa membolak balik atau melihatnya) dan dikira barang tersebut dibeli. Kedua-dua bentuk perniagaan tersebut adalah perniagaan ‘gharar’ yang diharamkan.
‘Gharar’ ada dua keadaan, sama ada ‘gharar wujud’, yang mana struktur asas jual beli itu tidak dapat dipastikan barangan diperoleh atau tidak. Keduanya ‘gharar al-siffah’, iaitu ketidakpastian tentang produk jenis apa yang bakal diperolehi. Maka, kita boleh simpulkan bahawa trend jual beli cedok ini adalah sama dengan jual beli ‘mulamasah’ yang mana jelas struktur asasnya jualan berbentuk ‘gharar.’ Ini kerana apa yang akan diperoleh oleh pembeli belum pasti dan tiada sebarang aras minimum barangan yang boleh dipastikan untuk diperolehi. Buat para penjual, adakah kerana mahukan produknya laku justeru sanggup menjual dalam keadaan yang tidak halal? Allah SWT berfirman:
“Celakalah bagi mereka yang terlibat dengan penipuan, mereka yang ingin ketepatan semasa orang lain menimbang bagi mereka, tetapi mengurangkan timbangan apabila mereka menimbang untuk orang lain.” (QS al-Mutaffifin: 1-3).
Berhati-hatilah dalam menjalankan perniagaan ini. Mahupun peniaga juga pembeli, kedua-duanya diharamkan terlibat dalam aktiviti seperti ini. Ia adalah amalan jahiliah yang tidak wajar dijadikan perniagaan mahupun sengaja dijadikan semata-mata kandungan (content) media sosial.
Sumber: Koleksi Hadis Jurnal, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)