Ateis bukanlah satu agama tetapi merupakan satu bentuk kepercayaan yang menafikan kewujudan Tuhan. Ia wujud semenjak abad ke-19 lagi dan Revolusi Perancis merupakan antara peristiwa pertama yang menyaksikan pergerakan fahaman ini. Statistik bilangan ateis ini juga sukar untuk ditentukan kerana kemunculan ateis yang pelbagai.
Menurut tinjauan Gallup International 2015, benua Eropah dan Asia Timur merupakan kawasan dengan kadar ateisme tertinggi di dunia. Perkara yang paling membimbangkan adalah penularan ateisme dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya golongan remaja turut menunjukkan kecenderungan yang tinggi dikala perkembangan teknologi maklumat yang menyebabkan berlakunya perubahan yang ketara terhadap gaya hidup masyarakat moden sehingga mengganggu-gugat perihal akidah.
Para pendokong fahaman ini mempunyai kepercayaan yang pelik kerana percaya terhadap hasil-hasil kajian sains yang dikatakan mampu menjawab persoalan-persoalan dasar termasuk pertanyaan tentang kewujudan Tuhan. Ada pula satu jenis kelompok ateis iaitu ateis pragmatis yang menyatakan mereka tetap menjalankan ritual keagamaan meskipun mereka tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Menurut mereka, alam semesta dan kehidupan boleh berfungsi tanpa Tuhan. Namun ateis pragmatis tidak menganggap agama sebagai sesuatu yang harus dimusuhi, sebaliknya agama harus didekati dan dimanfaatkan.
Namun, hakikatnya fahaman ateis juga tergolong sebagai salah satu bentuk kesyirikan. Disebalik penolakan terhadap kewujudan Tuhan, golongan ateis telah memberikan sifat-sifat ketuhanan kepada alam. Hal ini jelas golongan ateis sangat keliru dengan keyakinan yang dipegang. Mereka memahami fenomena alam dan hal-hal kehidupan ini hanya berdasarkan logik akal yang terbatas. Akhirnya mereka menyembah dan mengabdikan diri kepada hawa nafsu dan akal fikiran yang sempit dan terbatas semata-mata.
Persoalannya, mengapakah masyarakat Islam masih terperangkap dengan doktrin yang disebarkan sedangkan secara jelas fahaman ini amat bertentangan dengan dasar akidah Islam yang berpaksikan kepada tauhid?
Firman Allah dalam Surah al-Ikhlas, ayat 1-4 yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah yang Esa; “Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, “Dia tidak beranak dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tiada sesiapa pun yang setara denganNya.
Fikir-fikirkanlah, tepuk dada tanya iman.
Sumber: Seribu ombak, 25 Julai 2018 dan Fakir Ilmu,17 Ogos 2018.