Home Hizbut Tahrir BERHATI-HATI DENGAN HIZBUT TAHRIR!!! MEMANIPULASI AYAT-AYAT AL-QURAN DEMI MEMBENARKAN PEMAHAMAN SESAT...

BERHATI-HATI DENGAN HIZBUT TAHRIR!!! MEMANIPULASI AYAT-AYAT AL-QURAN DEMI MEMBENARKAN PEMAHAMAN SESAT DAN EKSTRIMNYA UNTUK MENEGAKKAN KHILAFAH ISLAMIYAH

197
0

Jika pengkaji teori konspirasi di Barat sering memetik ayat-ayat Bible, pengkaji teori konspirasi yang beragama Islam pula sering memetik ayat-ayat al-Quran dan hadis untuk meyakinkan masyarakat terhadap fahaman yang dibawa.

Taktik inilah yang dimanipulasikan oleh Hizbut Tahrir demi menaikkan semangat anggota yang direkrut bagi mencapai matlamat penubuhan Daulah Islamiyah di peringkat global. Setiap dakwaan yang dihiasi dengan ayat-ayat-al-Quran dan hadis untuk meyakinkan lagi masyarakat supaya turut sama-sama berjuang dalam mencapai misi Hizbut Tahrir walaupun terpaksa melakukan tindakan keganasan. Sedangkan penafsiran ayat al-Quran yang dibawa hanyalah secara zahir dan bercanggah sehingga terkeluar daripada konteks penafsiran ayat al-Quran yang sebenar mengikut kaedah penafsiran ulama-ulama yang muktabar.

Walaupun Hizbut Tahrir menitik beratkan untuk mengembalikan semula kehidupan Islam seperti di zaman Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat r.a dahulu melalui usahanya untuk menegakkan sistem Khilafah Islamiyah, namun banyak masalah yang boleh dipertikaikan dalam perjuangannya itu. Perkara utama yang boleh dipertikaikan adalah berkaitan masalah usul yang melibatkan pegangan akidah dalam perjuangan Hizbut Tahrir itu sendiri.

Mereka mendahulukan akal dalam memahami agama dan menolak hadis ahad dalam masalah akidah adalah merupakan ciri khas fahaman sesat Hizbut Tahrir. Oleh yang demikian, Asy-Syaikh Nasiruddin al-Albani rahimahullah yang merupakan ahli hadis di abad ini telah menjuluki mereka dengan ‘al-Mu’tazilah al-Judud’ (Mu’tazilah gaya baru).

Mereka menolak semua sistem yang diamalkan dalam pemerintahan di negara ini yang dianggap ‘Darul Kufur’ (negara kafir). Hizbut tahrir juga cepat memfitnah umat Islam yang tidak sehaluan dengan fahaman mereka dengan pelbagai gelaran seperi Jabariyyah, Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kumpulan terhina dan lain-lain lagi.

Hizbut Tahrir menghukum seluruh umat Islam tanpa terkecuali semenjak ratusan tahun yang lalu sebagai mati dalam dosa besar bak kekufuran orang jahiliyyah kononnya atas dasar tidak mendirikan khilafah mengikut cara Hizbut Tahrir. Mereka menghina akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengkafirkan yang tidak bersependapat dengannya.

Jika kita lihat pada zaman Rasulullah S.A.W., baginda menyatupadukan umat Islam melalui kesatuan akidah dalam perjuangan dakwahnya hingga berjaya memimpin negara dengan menerapkan sistem Islam dengan jayanya.

Malah sejarah juga telah membuktikan bahawa penyatuan dan persamaan dalam pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah telah berjaya membebaskan Palestin dan memartabatkan umat Islam di seluruh dunia oleh pemimpin agung Islam, Sultan Salehuddin al-Ayubi.

Sudah terang lagi bersuluh, umat Islam sesekali tidak akan bersatu dan tidak akan berjaya memartabatkan sistem Khilafah Islamiyah jika perkara pokok iaitu akidah tidak dititikberatkan dan dihayati. Ironinya Hizbut Tahrir bijak memainkan isu-isu Khalifah, isu-isu yang menyentuh hati umat Islam untuk meraih simpati, namun sedarlah bahawa Hizbut Tahrir tidak akan berjaya mencapai matlamatnya sekiranya masih berpegang dengan akidah yang salah. Allah tidak akan meredhai sesiapa pun yang berjuang atas landasan akidah yang menyeleweng dan pasti tidak akan mendapat kejayaan atau bantuan daripada Allah SWT. Hanya atas dasar kesatuan dalam akidah sahaja yang mampu mengembalikan sistem Khilafah Islamiyah serta kegemilangan ummah ini kembali sebagaimana gemilangnya Islam di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat r.a dahulu.

Sumber: Buku ‘Menyingkap Hakikat Sebenar Hizbut Tahrir’, Ahmad Faidzurrahim Mohd Alwi, 2012.