Baru – baru ini heboh di media sosial tentang sebuah video yang dimuatnaik oleh seorang pelancong yang berasal daripada England yang datang bercuti ke Malaysia dan menaiki sebuah grab untuk ke sebuah tempat. Namun apa yang menyedihkan adalah video yang diambil memaparkan seorang pemandu grab yang juga seorang warganegara tempatan telah memuatnaik kenyataan yang memburukkan Malaysia dan juga agama Islam.
Di dalam video tersebut dapat diperlihatkan bagaimana pemandu grab tersebut menyatakan bahawa Malaysia adalah negara Muslim dan Islam di negara ini mahu semua rakyat Malaysia mengikut hukum atur mereka sehinggakan agama lain tidak mempunyai kebebasan untuk melakukan sesuatu perkara. Bukan itu sahaja, pemandu grab berkenaan juga menyelar tentang tindakan Islam yang tidak meminum arak dan bermain judi serta menggelarkan rakyat Malaysia sebagai “gila” dan “bodoh” kerana suka akan kesesakan lalu lintas.
Perlu diketahui, Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang sudah menetapkan di dalam Perkara 3 (1) yang menetapkan bahawa Islam merupakan Agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Jelas di sini bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara Islam secara total sebaliknya ia sebuah negara yang berpelembagaan dan berdemokrasi. Perkara kedua, mengapa Islam melarang umatnya daripada meminum arak dan bermain judi adalah kerana terdapat keburukan lebih daripada kebaikan. Ini seperti yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (QS Al – Maidah: 90).
Walaubagaimanapun, larangan ini tidak tertakluk kepada golongan bukan Islam kerana sudah jelas prinsip dan kepercayaan yang berbeza agama itu mengikut kepada anutan masing – masing. Akan tetapi, artikel percaya bahawa setiap agama pasti mempunyai sisi yang berbeza pandangan mengenai arak dan judi.
Namun, menjadi warganegara yang baik itu dituntut dalam setiap agama apatah lagi kita semua berada di bawah satu negara iaitu Malaysia. Seharusnya pemandu grab tersebut bercerita tentang kebaikan negara ini agar menjadi contoh dan tauladan serta boleh menjadi inspirasi pelancong luar negara tentang tarikan budaya, agama dan bangsa yang berbilang kaum dan duduk secara harmoni. Jadilah warganegara yang selari dengan rukun dan perlembagaan negara, jangan jadi pengkhianat yang duduk bersenang lenang menikmati hasil negara tetapi dalam masa yang sama menjadi gunting dalam lipatan.
Sumber: Instagram pusyed_official (https://www.instagram.com/tv/C7xVBBZtbST/?igsh=Mjd0dHZ2YmZzMXV5)