Home Kemanusiaan/Motivasi JANGAN MUFLIS DI AKHIRAT JANGAN MENGANIAYAI ORANG LAIN KERANA DI AKHIRAT KELAK,...

JANGAN MUFLIS DI AKHIRAT JANGAN MENGANIAYAI ORANG LAIN KERANA DI AKHIRAT KELAK, ORANG YANG DIANIAYA AKAN MENUNTUT PAHALA YANG DIPEROLEHINYA SEHINGGA IA MENJADI MUFLIS

1009
0

Memang tidak dapat dinafikan di dunia ini wujudnya manusia talam dua muka, yang sering di hadapan manusia ia akan berlagak baik tetapi di belakang membawa racun yang berbisa untuk “membunuh” dalam senyap. Ini adalah suatu perbuatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Perbuatan menganiaya orang ini adalah satu bentuk jenayah yang tidak dapat diampunkan oleh Allah SWT melainkan mendapat kemaafan daripada orang yang dizalimi itu. Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (QS Al – Ahzab: 58).

Kesan daripada perbuatan menyusahkan manusia dan masyarakat itu akan memberikan kesan kepada pelakunya di akhirat kelak hingga tidak mustahil bakal menjadi orang yang muflis. Saidina Abu Hurairah RA meriwayatkan kisah manusia muflis di Hari Timbangan itu dalam hadis Sahih Muslim yang panjang apabila Rasulullah SAW menyoal sahabat Baginda mengenai orang muflis. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya orang muflis dalam kalangan umatku ialah orang yang datang ketika Kiamat dengan membawa pahala solat, puasa, zakat dan pelbagai ibadat tetapi dia juga pernah mencaci, memfitnah, mengambil harta tanpa hak, menumpahkan darah serta memukul orang lain.” (HR Muslim).

Ingatlah, setiap orang yang pernah dizalimi dan dianiaya itu akan menuntut hak masing-masing dan sebagai balasannya, mereka mendapat sebahagian pahala yang berkadaran dengan hak terbabit. Pahalanya terus diberikan hinggalah semuanya habis, lalu pelaku kejahatan itu akan menanggung pula dosa orang yang masih menuntut hinggalah dia akhirnya dicampakkan ke neraka. Betapa beratnya dosa menyusahkan dan menganiayai orang lain itu, ia tidak akan hilang hanya dengan bertaubat kepada Allah SWT selagi tidak meminta maaf dan halal daripada mereka. Malah, orang yang melakukan kesalahan hingga menzalimi saudaranya, perlu berasa khuatir dan bimbang kerana doa orang yang dizalimi tiada hijab dengan Allah SWT. Jangan tergolong dalam golongan muflis akhirat!

Sumber: Berita Harian (26 Februari 2019)