Home ISIS/DAESH AWAS, GERAKAN DAESH/IS BELUM BERAKHIR!!! BERHATI-HATILAH, JANGAN SESEKALI TERPENGARUH DENGAN IDEOLOGI EKSTREMIS...

AWAS, GERAKAN DAESH/IS BELUM BERAKHIR!!! BERHATI-HATILAH, JANGAN SESEKALI TERPENGARUH DENGAN IDEOLOGI EKSTREMIS YANG BERTOPENGKAN JIHAD INI

970
0

Baru-baru ini tular laporan mengenai dua orang rakyat Malaysia yang telah ditangkap oleh pihak penguasa Taliban di Afghanistan kerana keterlibatan mereka dalam serangan terhadap kerajaan yang dipegang oleh Taliban tersebut melalui sebuah gerakan radikal yang dikenali sebagai IS-K.

IS-K merupakan cabang IS di Afghanistan dan terdiri daripada serpihan anggota Taliban yang menyasar untuk menubuhkan pemerintahan khalifah di wilayah yang sebelum ini disebut sebagai Khorasan, kawasan yang merangkumi sebahagian Iran, Afghanistan dan beberapa bahagian Asia Tengah.

Walaupun laporan berkenaan belum lagi disahkan, namun penangkapan terhadap rakyat Malaysia yang dikatakan sudah sedia ada di luar ini perlu diambil cakna oleh bahagian keselamatan negara kerana dikhuatiri pengaruh-pengaruh IS sedang menyebarkan ideologi radikalnya secara tersembunyi dan sedang merangka perancangan dan mengumpul kekuatan untuk menubuhkan Daulah Islamiyah.

Jumhur ulama menafsirkan makna jihad bukanlah sekadar perang tetapi jihad merangkumi makna yang lebih luas. Daripada sudut falsafah akhlak, teroris atau pelampau agama ini dianggap sebagai golongan yang tidak berhikmah iaitu tiada sifat kebijaksanaan. Mereka ini sebaliknya berfikiran sempit, terburu-buru dan mengikut hawa nafsu dalam menghukum kafir terhadap orang lain termasuklah sesama umat Islam sendiri yang tidak menyokong perjuangan jihad mereka.

Secara asasnya, ideologi IS telah dipengaruhi oleh fatwa jihad yang dikeluarkan oleh Syeikh Abdullah Azzam ketika era perang di Afghanistan lewat tahun 1980an. Bermula dari era tersebut, golongan-golongan fundamentalis seperti IS, Jemaah Islamiyah, Darul Islam, Kumpulan Abu Sayyaf dan pelbagai kumpulan radikal Islam turut menjadikan fatwa tersebut sebagai asas pergerakan kepada kumpulan jihad yang ditubuhkan kerana kesemua pemimpin dan pengasas kumpulan tersebut pernah dilatih dan bertemu dengan Abdullah Azzam semasa perang di Afghanistan terdahulu.

Sungguhpun di Malaysia kumpulan IS ini tidak wujud secara berskala besar sebelum ini, namun langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan segera secara konsisten dan berkesan lebih-lebih lagi apabila tiba-tiba tular penangkapan rakyat Malaysia yang turut terlibat dalam serangan di Afghanistan tersebut. Hal ini menunjukkan mereka tidak pernah lenyap, malah sering merangka gerakan-gerakan radikal secara tersembunyi. Oleh itu, pencegahan terorisme bukan sahaja bergantung kepada langkah penguatkuasaan undang-undang dan risikan keselamatan sahaja, tetapi pencegahan perlu dilakukan daripada akar umbi kerana kita sedia maklum IS mampu untuk mengancam keselamatan negara dengan skala yang besar.

Sumber: Berita Harian, 28 Ogos 2021 dan Task Force Perisai Wira ATM